USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GRADUAN AUTISME TEKAD JADI JURUTERA

konvo21 edited

USM PULAU PINANG, 27 September 2019 – Walaupun dilahirkan dengan autisme, ia bukan halangan kepada Muhammad Ridz Aqil Ridzuan, 23, untuk menyambung pengajian dan bergelar graduan pada Upacara Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) Ke-57 di sini, semalam.

Muhammad Ridz yang disahkan menghidap Autism Spectrum Disorder sejak berumur 5 tahun berkata, beliau gembira apabila berjaya menamatkan pengajian dalam bidang yang amat diminatinya iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam.

“Saya amat meminati Kejuruteraan Awam dan kadang-kala boleh memperuntukkan masa seharian untuk menelaah beberapa subjek berkaitan,” katanya yang menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.30.

Menceritakan pengalamannya sepanjang menuntut di USM, anak kelahiran Singapura ini berkata, beliau tinggal di asrama sepanjang pengajian dan hanya berbasikal untuk ke mana-mana.

“Saya hanya pulang ke Singapura pada cuti semester dan hanya keluar dari universiti untuk mencari makanan. Selebihnya, saya suka bersukan jika berkelapangan,” katanya yang bercita-cita menjadi jurutera awam.

Sementara itu, ibunya, Aida Othman, 50, berkata beliau dan suaminya, Ridzuan Salim, 50, nekad mencari universiti terbaik di luar Singapura untuk mengajar Muhammad Ridz berdikari.

Katanya, anak sulung daripada tiga beradik itu tidak pernah mengikuti apa-apa aktiviti perkhemahan atau lawatan ketika bersekolah, apatah lagi berjauhan daripada keluarga.

“Kami suami isteri nekad untuk pastikan dia sambung pengajian di luar negara, dan hasil pencarian kami, hanya USM menawarkan pengajian yang dimahukan dan sesuai dengannya.

“Sepanjang pengajian, Muhammad Ridz biasanya akan menghubungi saya melalui aplikasi Skype dua kali sehari, tetapi kalau dia stress, terutamanya pada musim peperiksaan, ia akan menjadi tiga kali atau lebih dalam sehari,” katanya.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam USM, Profesor Dr. Taksiah A Majid, berkata Muhammad Ridz adalah pelajar istimewa dan menjadi pelajar warga asing pertama di fakulti itu.

“Beliau sangat unik, cepat belajar, tetapi kita perlu tahu cara mengendalikan emosinya.

“Ada satu subjek yang mana hanya Muhammad Ridz seorang yang mendapat A dalam kelasnya dan ia memang mengagumkan kami semua,” katanya.

Taksiah berkata pihaknya di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam cuba dengan sebaiknya untuk menambah baik prasarana sedia ada di premis pusat pengajian bagi membolehkan Muhammad Ridz belajar dengan selesa.

“Ini sejajar dengan hasrat Universiti dan negara dalam meningkatkan inklusiviti golongan kelainan upaya (OKU) supaya mereka juga berpeluang mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama bersama pelajar lain yang normal,” katanya lagi.

Muhammad Ridz kini menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Kejuruteraan Awam di Nanyang Technological University, Singapura.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 944

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024