USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HIBA KETIKA NAMA MENDIANG ISTERI DISEBUT

anumerta3

USM PULAU PINANG, 26 September 2019 – Seorang suami, Kamaleswaran Muniandy, 39, berasa hiba dan sedih apabila nama mendiang isterinya, K. Vimala S. Krishnan disebut di Upacara Konvokesyen ke-57 Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Kamaleswaran yang hadir bersendirian melahirkan rasa hiba apabila ditemui ketika mewakilkan mendiang isterinya bagi menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan daripada Pro-Canselor, Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan.

“Mendiang ingin membuktikan kemampuan beliau dalam menamatkan pengajian di peringkat ijazah namun hasrat dan cita-cita beliau tidak kesampaian dan saya berharap cita-citanya akan diteruskan oleh dua orang anak kami,” tambahnya.

Kamaleswaran yang bekerja sendiri berkata mendiang isterinya mengidap kanser payudara sehingga merebak ke otak dan beliau mengetahui mengenai penyakitnya pada November tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir pada 22 Mac 2019 di Ipoh, Perak.

Seramai 320 orang graduan berijazah dalam bidang masing-masing pada Sidang Keempat Upacara Konvokesyen USM.

Mendiang K. Vimala yang sebelum ini adalah seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Ipoh mendirikan rumah tangga dengan Kamaleswaran pada tahun 2009 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Bhavisha, 9 dan Jaitran, 4 tahun.

anumerta1

Bagi Wan Halim Wan Baharom pula, kehilangan isterinya, Dalilah Yusoff, 49, ketika sama-sama terlibat dalam kemalangan jalan raya tahun lalu meninggalkan kesan yang mendalam dalam dirinya.

“Beliau sangat bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan saya sangat bangga dengan pencapaiannya yang dapat menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah selepas tamat Ijazah Sarjana Muda di USM dalam program Jarak Jauh,” kata Wan Halim yang mempunyai tiga orang anak dan masing-masing sedang menyambung pengajian di luar negara.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua  pensyarah yang telah banyak membantu allahyarham ketika beliau menuntut ilmu di sini dalam bidang Kewangan di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh,” tambah Wan Halim yang tidak dapat untuk bersama-sama di dalam Sidang Pertama Upacara Konvokesyen ke-57 USM atas sebab kesakitan tulang belakang dan tidak boleh duduk untuk masa yang lama.

Wan Halim menerima skrol allahyarham isterinya dari Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah sebelum sidang bermula.

Upacara Konvokesyen ke-57 USM menyaksikan seramai 6,338 graduan menerima ijazah masing-masing dalam 10 sidang yang diadakan bermula 24-29 September 2019.

USM juga menyambut Ulang Tahun ke-50 pada tahun ini dengan mengadakan Upacara Konvokesyen Komemoratif sempena sambutan tersebut pada 23 September lalu.

Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 1321

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024