USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KBS JAMIN BANTU SEDIAKAN 3,000 SAMPEL URIN

usmdopping1

PULAU PINANG, 21 Feb.2013 – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia untuk bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi menyediakan 3,000 sampel urin setahun untuk diuji oleh makmal Pusat Kawalan Doping USM.

Menterinya, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, gandingan di antara dua pihak itu amat penting bagi membolehkan PKD USM mendapatkan semula dan mengekalkan akreditasi makmal yang diiktiraf badan antarabangsa, Agensi Anti Doping Dunia (WADA).

Katanya, pihak WADA telah menggariskan perkara-perkara tertentu yang perlu dipatuhi bagi mengekalkan akreditasi makmal ujian, termasuk menjalankan ujian terhada 3,000 sampel setiap tahun.

``Kita akan melihat perkara ini secara terperinci dan bersedia bekerjasama dengan USM dalam mendapatkan semula akreditasi WADA dalam masa terdekat.

``Malaysia amat mementingkan masalah penyalahgunaan dadah dalam sukan dan serius untuk melihat perkembangan sukan dibangunkan kepada asas persekitaran yang berintegriti tinggi,’’ katanya.

usmdopping 2 

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas selepas mempengerusikan mesyuarat khas bersama Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman dan Pengarah PKD, Prof. Dato’ Bahruddin Saad di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Sri Zaidon Asmuni, Pengarah Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS), Dato’ Ramlan Abd. Aziz dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof. Muhamad Jantan.

Tambah Ahmad Shabery, perbincangan itu turut menjurus kepada penyediaan satu plan strategik yang akan melihat keperluan dan jangka masa yang perlu diambil untuk memenuhi semua syarat yang diperlukan untuk mendapatkan semula akreditasi dan sebagainya.

``PKD USM akan melakukan penstrukturan semula bagi menjamin dua perkara utama termasuk tempoh untuk dapatkan semula akreditasi dan menjalinkan hubungan dengan agensi lain termasuk KBS dan sebagainya,’’ katanya.

Sesi perbincangan tersebut turut disertai oleh pakar dari King’s College of London , Prof. David Cowan yang dipelawa untuk memberi cadangan dan pandangan kepada PKD dalam usaha mendapatkan semula akreditasinya dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, PKD USM yang mula diiktiraf WADA pada 2005 telah dikejutkan dengan penarikan semula akreditasi disebabkan isu berkaitan prosedur ujian terhadap seorang atlet pada tahun 2010 dan berpanjangan sehingga kini. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md Isa

 

 

 

  • Created on .
  • Hits: 2211

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024