FOOD BANK SISWA DILANCAR, 350 PELAJAR B40 USM TERIMA BANTUAN
PULAU PINANG, 8 September 2019 – Buat pertama kalinya Food Bank Siswa dilancar di Universiti Sains Malaysia (USM), sejumlah 350 pelajar yang dikenal pasti golongan B40 telah menerima bantuan daripada program ini.
Inisiatif Food Bank Siswa berkonsepkan "Daripada Mahasiswa kepada Mahasiswa" merupakan program di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan nasib pelajar kurang berkemampuan di USM terbela dengan bantuan dan sokongan bagi meneruskan pengajian di sini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KPDNHEP melalui Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) telah mengambil langkah seperti membuka ruang seluasnya kepada semua pihak untuk bekerjasama menjayakan program ini agar sumbangan ini mampu memberikan sinar baharu kepada mahasiswa kurang berkemampuan meneruskan perjuangan menuntut ilmu di USM.
"Pihak Kementerian amat mengambil perhatian menangani kos sara hidup yang dihadapi oleh mahasiswa yang kian meningkat, atas sebab itulah program Food Bank Siswa diadakan di setiap Institut Pengajian Tinggi termasuk USM bagi membantu pelajar-pelajar yang memerlukan," katanya ketika hadir melancarkan Food Bank Siswa di Dewan Persidangan Siswa 1, USM pagi ini.
Tambah Saifuddin, program ini juga akan digerakkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Sukarelawan Food Bank USM yang akan menyelaras sumbangan dan mengenal pasti mahasiswa yang layak menerima.
"Saya juga berharap para mahasiswa B40 ini bukan sahaja menerima bantuan, malah mereka sepatutnya diketengahkan oleh USM bagi bersama-sama menggerakkan program seperti ini supaya dapat mengasah bakat mereka, mengenal pasti kelebihan diri yang dimiliki seterusnya mampu berdikari bagi meneruskan kelangsungan hidup," jelasnya lagi.
Pada majlis yang sama, Pendaftar USM, yang mewakili Naib Canselor USM, Dr. Musa Ali berkata, USM sentiasa menitikberatkan pelajar-pelajar kategori B40 ini melalui pelbagai bantuan yang disediakan untuk mereka.
"Tahun lepas sahaja kita telah mengambil sejumlah 414 pelajar kategori B40, yang mana mereka ini bukan sahaja diberi bantuan, malah diketengahkan dengan pelbagai aktiviti dan program rasmi universiti agar kita dapat mengasah bakat, mengintai kepakaran dan kekuatan yang dimiliki mereka untuk khidmat bakti buat universiti," kata Dr. Musa.
Jelas Musa lagi, USM sentiasa berdiri teguh menyokong hasrat murni kerajaan dalam apa jua perkara membabitkan isu kebajikan pelajar agar golongan ini sentiasa diberi perhatian demi kesinambungan pimpinan generasi akan datang.
Pada majlis tersebut, Saifuddin turut sempat singgah di Dapur Pusat Islam USM bagi melihat aktiviti gotong-royong menyediakan makanan sempena program ini dan beramah mesra bersama 300 pelajar USM melalui program Wacana bersama YB Menteri selama lebih satu jam di Dewan Persidangan Siswa 1, USM.
Yang turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan Negeri Pulau Pinang, Dato' Hj. Abdul Halim Hj. Hussain; Ketuas Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd. Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Food Bank Malaysia, Ab Wahab Long dan Timbalan Pendaftar Kanan, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Mohamad Abdullah.
Turut bersama menjayakan program ini adalah wakil-wakil penaja Food Bank Siswa USM, termasuk Sunshine Wholesale Mart Sdn. Bhd.; 99 Speedmart Sdn. Bhd.; Perniagaan Isoon Lii Sdn. Bhd.; Chuan Leong & Sons Sdn. Bhd.; Chon Senf Chan Sdn. Bhd. dan 7-Eleven Malaysia Sdn. Bhd.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 2077