USM PILIHAN PELAJAR CHINA KUKUHKAN PENGUASAAN BAHASA MELAYU
PULAU PINANG, 3 September 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi pilihan destinasi pelajar dari negara tembok besar China untuk meneruskan pengajian peringkat tinggi apabila 60 orang pelajar dari pelbagai universiti di China mendaftar hari ini sebagai pelajar Universiti Sains Malaysia (USM).
Pelajar-pelajar dari China ini merupakan pelajar yang mengikuti pertukaran akademik antara universiti di China bersama USM selama 2 semester tempoh pengajian.
Apa yang lebih menarik, mereka hadir dengan tujuan memperkukuhkan penguasaan bahasa kebangsaan dan akan mengikuti pengajian Bahasa Melayu di USM selama tempoh tersebut.
Jiang Wenyue, 20, dari Guangxi University for Nationalities, China berkata peluang untuk menjadi seorang warga kampus USM cukup dinantikan dan akhirnya impiannya termakbul.
“Pertama kali saya menjejakkan kaki di USM sememangnya USM cukup hebat di samping permandangan yang indah dan suasana kampus yang cukup harmoni membuatkan saya berasa selesa untuk mengikuti pengajian di sini,” katanya.
Tambahnya sebelum datang ke USM, dia sedikit sebanyak ada menyelidik mengenai USM, tambah lagi USM mempunyai kerjasama strategik dengan Guangxi University for Nationalities.
“Saya dapat melihat USM amat menitikberatkan kebajikan dan pendidikan pelajar secara holistik dan ini peluang yang cukup berharga buat saya untuk menerokai kampus USM,” jelasnya lagi.
Begitu juga dengan Tang Wei yang berumur 20 tahun, pelajar dari Yunnan Minzu University China ketika ditemubual berkata, dia mengenali USM melalui rakan-rakan senior yang mengatakan USM merupakan lokasi pengajian yang semestinya patut dia pilih.
Dia yang fasih berbahasa Melayu berkata, dengan kelebihan mampu bertutur dan memahami percakapan membuatkan dia lebih mudah akrab dengan pelajar-pelajar tempatan dan seterusnya memahami budaya di Malaysia.
“Menjadi idaman saya untuk mengenali, memahami dan menjiwai kepelbagaian budaya yang dimiliki di Malaysia, lantas peluang selama 2 semester di USM akan saya manfaat sepenuhnya mempelajari bahasa, budaya dan kepelbagaian etnik di sini,” jelasnya lagi.
Pada masa yang sama, Liu Quan Bin, 20, pelajar dari Xi’an International University, China turut mengakui USM merupakan pilihan beliau yang amat tepat bagi meneruskan pengajian Bahasa Melayu di sini.
“Dengan suasana yang kondusif, pemandangan yang indah dikelilingi pokok-pokok dan taman membuatkan saya begitu selesa dan tenang apabila pertama kali hadir di kampus ini, dengan pelajar-pelajar tempatan di USM cukup ramah dan membantu segenap aspek sebelum kami dapat membiasakan diri dengan suasana pembelajaran USM,” jelasnya lagi.
Quan Bin turut berharap pada suatu hari nanti beliau dan rakan-rakan lain akan turut sama mempromosikan USM sebagai salah satu universiti terbaik di Malaysia yang semestinya menjadi destinasi dan pilihan pelajar-pelajar dari negara China.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar / Foto : Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1774