PELAJAR ANTARABANGSA TERUJA SAMBUNG PENGAJIAN DI USM
PULAU PINANG, 2 September 2019 - Pergolakan di Kashmir, India tidak menghalang Arslan Mushtaq untuk meninggalkan keluarga tersayang bagi melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Beliau percaya tuhan akan melindungi keluarganya di sana dan akan cuba untuk menghubungi mereka secara kerap walaupun tidak mempunyai talian telefon bimbit dan rangkaian internet kerana hanya bergantung kepada talian tetap.
"Saya memilih USM kerana kerap kali mendengar tentang kebaikan dan perkara-perkara positif dari abang saya mengenai USM yang juga menuntut di sini dan bapa saudara saya juga seorang pensyarah di USM," kata Arslan yang mendaftar untuk mengikuti pengajian dalam bidang Bahasa Inggeris untuk Profesional di Kampus Induk USM.
Bagi Max Aidan Mulhall-Biseth yang berasal dari Norway pula, beliau yakin ibunya sangat bangga dengan pilihannya untuk menyambung pengajian di USM kerana telah banyak membaca dan mendengar pengalaman dari para alumni sekolah tinggi beliau yang juga telah melanjutkan pengajian di USM.
“USM adalah sebuah institusi pengajian tinggi yang tersohor di dunia dalam pelbagai bidang,” tambah Max Aidan.
"Saya memang memilih untuk melanjutkan pengajian di luar lingkungan negara-negara Eropah kerana ingin menimba pengalaman baru yang lebih mencabar serta telah membuat kajian awal tentang USM dan Pulau Pinang sebelum memohon untuk melanjutkan pengajian di sini," kata Max Aidan,19 yang mendaftar untuk mengikuti kursus Matematik Gunaan di USM.
Walaupun terpaksa menyesuaikan diri dengan cuaca dan persekitaran di Malaysia, Max Aidan yakin dengan pilihannya dan akan belajar bersungguh-sungguh.
"Emak saya juga seorang yang sentiasa mencabar diri dan telah melancong ke serata dunia pada usia yang muda, saya juga berhasrat untuk mengikut sepertinya," tambah Max Aidan lagi.
Selain mereka, pelajar dari Algeria, Taki Eddine Torki pula berkongsi pengalaman pertamanya merasai suasana di Malaysia khususnya di Pulau Pinang dan berpendapat beliau tidak salah dalam memilih destinasi pengajian.
"Negara ini amat kaya dengan kehijauan dan indah. Masyarakatnya juga sangat baik dan ramah. Cuma yang sedikit memberi cabaran pada saya ialah makanannya yang pedas-pedas. Mungkin saya perlu lebih cepat mengadaptasi rasa makanan-makanan di sini supaya dapat menikmatinya," kata beliau.
Eddine akan mengikuti pengajian dalam bidang sains komputer dengan memilih untuk pengkhususan kepada sub bidang keselamatan siber.
Arslan dan Max Aidan dan Eddine adalah antara 237 pelajar antarabangsa dari 38 buah negara yang telah mendaftar di USM bagi Sidang Akademik 2019/2020. Negara lain adalah Mesir, Rusia, Italy, Sri Lanka, Taiwan, Canada, China, Arab Saudi, Indonesia, Bangladesh, Iran, Thailand dan Amerika Syarikat.
Mereka telah diperkenalkan semasa sidang media kemasukan pelajar yang dipengerusikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.
Untuk rekod, sejumlah 4,684 calon dari lepasan STPM/Matrikulasi/Asasi/Diploma/Setaraf akan mendaftar di ketiga-tiga Kampus USM bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda (Penuh Masa) pada Sidang Akademik 2019/2020. Pecahan ambilan pelajar mengikut kampus adalah Kampus Induk 3,268, Kejuruteraan 754 dan Kesihatan 662 pelajar.
Jumlah ini telah meningkat sebanyak 1.5% (69 orang) berbanding tahun 2018. Bagi pengambilan pada tahun ini, sebanyak 68% adalah pelajar baharu wanita dan 32% adalah pelajar baharu lelaki.
Turut hadir di sidang media tersebut ialah Timbalan Pendaftar Pusat Media dan Perhubungan Awam, Izam Fairus Kamaruddin, Timbalan Pendaftar Kanan, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Mohamad Abdullah, Pengarah Pusat Pembangunan Sahsiah Pelajar, Dr. Nazarudin Zainun dan Penggawa Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan, Mohd Shafie Ariffin.
Teks: Nor Rafizah Md Zain dan Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1332