USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LEPASKAN KERJAYA DEMI CITA-CITA BERGELAR DOKTOR

fariz

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 September 2019 - Demi mengejar cita-cita bergelar doktor perubatan, seorang bekas pensyarah sebuah universiti awam, Ahmad Faris Abdul Razak, 45, sanggup melepaskan kerjayanya dan menyambung pelajaran.

Ahmad Faris merupakan antara 653 pelajar yang mendaftar diri bagi mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) bagi sidang akademik 2019/2020 hari ini.

"Saya memang meminati bidang perubatan sejak kecil lagi, namun sebelum ini saya tidak berpeluang untuk meneruskan pengajian dalam bidang tersebut disebabkan rezeki saya dalam bidang Matematik pada masa tersebut,” katanya.

"Saya juga mempunyai pengalaman dalam bidang Penerbangan Awam kerana turut mempunyai ijazah dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dan pernah berkhidmat dengan syarikat penerbangan Air Asia," ujarnya selepas sesi pendaftaran pelajar baharu.

Tambah Ahmad Faris, walaupun terpaksa bersaing dengan golongan yang lebih muda, ia tidak sedikitpun mematahkan semangatnya untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan yang dijangka mengambil masa selama lima tahun.

"Saya akan menggunakan peluang yang diberi ini sebaik mungkin untuk menghabiskan pengajian mengikut masa yang ditetapkan dan berharap agar ilmu yang diperolehi dapat saya gunakan untuk memberi perkhidmatan kepada golongan memerlukan satu hari nanti.

"Faktor usia bukan halangan untuk saya menuntut ilmu dan saya yakin yang saya mampu bersaing dengan golongan muda untuk menjadi insan berilmu dan berguna kepada masyarakat dan negara," jelasnya lagi.

Kampus Kesihatan USM menawarkan 13 program pengajian di tiga pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Sains Perubatan, Pusat Pengajian Sains Pergigian dan Pusat Pengajian Sains Kesihatan.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

  • Created on .
  • Hits: 2063

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024