USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-PERKESO SEDIAKAN SUT ROBOTIK HAL UNTUK REHABILITASI

 
perkeso11

USM PULAU PINANG, 30 Ogos 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM) bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menyediakan sut robotik berteknologi tinggi dari Jepun iaitu 'Hybrid Assisted Limb' (HAL) kepada para pencarum PERKESO dan juga orang awam di Hospital USM, Kubang Kerian tidak lama lagi.

"Kami teruja dengan pemilihan Hospital USM sebagai hub pengembangan program rehabilitasi perubatan berteknologi tinggi sut robotik HAL yang menggabungkan teknologi Artificial Intelligence (AI) dan perubatan rehab yang telah terbukti berkesan di Jepun,” kata Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail di majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara USM dan PERKESO di sini hari ini.

perkeso12
 
“Saya juga berharap agar kerjasama yang dimeterai pada hari ini akan berkembang dan diperluaskan ke Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM di Pulau Pinang bagi manfaat kepada masyarakat di utara dalam usaha mengembangkan program rehabilitasi perubatan berteknologi tinggi 'Cybernic Treatment',” tambah Asma.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Dato' Sri Dr. Muhammad Azman Dato' Aziz Muhammed berkata, USM merupakan universiti pertama yang dipilih menjadi rakan kolaborasi dalam memanfaatkan teknologi 'Cybernics HAL'.

“Cybernics HAL merupakan sejenis pakaian robotik ala 'cyborg' ciptaan Syarikat Cyberdyne Inc. Tsukuba, Jepun yang menggabungkan teknologi kepintaran buatan (AI) dengan kejuruteraan mekanikal untuk tujuan rehabilitasi pesakit,” kata Muhammad Azman.

perkeso13
 
"Kami akan menempatkan sebanyak enam unit robot HAL di unit rehabilitasi Hospital USM dan akan melatih sepasukan pakar rehabilitasi Hospital USM mengendalikan peralatan tersebut,” ujar beliau dalam sidang media yang diadakan selepas majlis tersebut.

Persefahaman ini juga bakal membuka peluang menjadikan Hospital USM sebagai hospital panel kepada pencarum PERKESO mendapatkan rawatan dan dalam masa yang sama teknologi Cybernics ini juga boleh dimanfaatkan oleh pesakit yang bukan pencarum.

perkeso15

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Rehabilitasi PERKESO, Dr. Hafez Hussain; Pengerusi Kluster OKU Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah PERKESO Pulau Pinang, Hj. Othman Mohd Nordin serta pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid

  • Created on .
  • Hits: 1204

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024