i-CSC PERKENAL TUJUH SATELIT SIMULASI BAHARU
KOTA BHARU, KELANTAN, 20 Ogos 2019 – Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Integrasi Simulasi Klinikal atau lebih dikenali sebagai “Integrated Clinical Simulation Centre” (i-CSC) memperkenalkan tujuh satelit simulasi baharu bagi memenuhi keperluan masa kini seiring dengan perkembangan teknologi dalam bidang perubatan untuk meningkatkan kecekapan dalam rawatan di samping menjamin keselamatan pesakit.
Tujuh satelit berkenaan, Minimally Invasive Gynaecology Surgery (MIGS), Endo-Laparoscopy Surgery (ELaPS), 3D Printing in Medicine (3DPIM), Advanced Minimally Invasive Endovascular and Neuroradiology (AMIEN), Advanced Life Support (ALS), Point-of-Care Ultrasound (PoCUS) dan Microsurgical Skills Training (MiST) dibangunkan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar dan profesional perubatan agar mereka mempunyai ilmu dan kemahiran yang tinggi apabila bergraduasi nanti.
Penyelaras Pusat Integrasi Simulasi Klinikal, PPSP USM, Dr. Mohd Hashairi Fauzi berkata, satelit MIGS yang diberi nama ‘AR Gynae Endotrainer’ diperkenalkan khusus untuk amalan pembedahan laparoskopi ginekologi dan ia adalah yang pertama dibangunkan oleh doktor tempatan di Malaysia. Pembedahan laparoskopi memerlukan kebolehan dalam penyelarasan tangan dan mata, persepsi kedalaman serta triangulasi ketika melakukan sesuatu pembedahan.
“Alat ini direka khas untuk membantu para doktor berlatih bagi mencapai kemahiran asas tanpa risiko terhadap pesakit dan bentuknya yang mirip seperti abdomen seorang pesakit akan dapat merapatkan jurang pembelajaran serta kemahiran pembedahan akan lebih mudah diperolehi; tambahan pula kos membangunkan AR Gynae Endotrainer ini adalah lebih rendah berbanding kotak latihan yang dihasilkan di luar negara.
“Satelit E-LaPS pula adalah gabungan tiga cabang rawatan pembedahan terkini iaitu Endoskopi, Laparoskopi dan Surgeri Asas yang mana latihan simulasi dalam tiga cabang ini adalah pra syarat bagi melahirkan pakar dan subpakar pembedahan berkompetensi tinggi seiring arus teknologi bidang perubatan terkini,” ujarnya ketika ditemubual selepas majlis pelancaran pusat berkenaan di Hotel Grand Renai, di sini.
Tambah Hashairi, Endoskopi adalah prosedur pemeriksaan berkamera pada saluran trek gastrousus, Laparoskopi adalah pembedahan kaedah tebukan lubang halus manakala Surgeri Asas pula adalah kemahiran bedah atau diseksi dan jahitan bagi memastikan hasil pembedahan minima atau zero komplikasi dengan menggunakan peralatan sedia ada untuk membentuk alatan simulasi setaraf peralatan simulasi sebenar yang berkos tinggi.
“Satelit 3DPIM dengan moto ‘Dari Imbasan ke Implan dan Organ’ pula merupakan percetakan tiga dimensi dengan teknologi terkini untuk pembuatan objek yang mula digunakan dengan meluas dalam bidang perubatan bermula dengan imbasan CT, MRI ataupun bahagian badan pesakit, ianya disunting di atas komputer dan kemudiannya boleh dicetak menggunakan bahan dari plastik atau logam.
“Antara kegunaannya ialah penghasilan model pesakit pagi pengajaran dan pembelajaran, perancangan pembedahan-pembedahan rumit dan sebagai alat-alat perubatan dan implan untuk pesakit,” ujarnya lagi.
Hashairi berkata, Angiosimulator AMIEN pula merupakan satelit yang ditempatkan di Jabatan Radiologi, Hospital USM untuk memberi pendedahan awal dan kemahiran kepada pelajar sarjana perubatan dan pakar intervensi untuk memberi simulasi keadaan sebenar pesakit.
“Angiosimulator ini dilengkapi dengan beberapa modul yang mana para pelatih boleh mengakses saluran darah pesakit berdasarkan organ-organ yang tertentu, seperti salur darah di otak, salur darah di buah pinggang dan lain-lain. Pelatih juga perlu memilih alatan khusus untuk digunakan semasa prosedur dijalankan seperti ‘catheter', ‘coiling’ dan ‘ballon'.
“Di samping itu, situasi komplikasi prosedur juga diterapkan bagi tujuan para pelatih boleh mengendali dan merawat situasi tersebut jika terjadi di dalam kes sebenar selain turut membantu para pelajar sarjana perubatan meningkatkan tahap kompetensi dalam mengakses salur darah,” jelasnya.
Selain itu, menurut Hashairi, penggunaan ‘high fidelity simulator’ dapat membantu para pelajar dalam meningkatkan kemahiran dan keyakinan dalam mengendalikan kes-kes yang kompleks dan memberi simulasi keadaan sebenar pesakit selain dapat memberi peluang kepada peserta luar untuk mendapatkan akreditasi dan pensijilan dalam ilmu resusitasi menerusi satelit ALS.
“Satelit PoCUS pula merujuk kepada penggunaan ultrasound dalam mengenalpasti punca dan memberi rawatan segera bagi membantu pesakit serta sesuai digunakan di semua tempat dan keadaan sama ada di dalam hospital, pra-hospital dan kawasan pedalaman sebagai alat untuk membantu doktor dalam membuat keputusan yang lebih pantas dan tepat tanpa membahayakan pesakit.
“Bagi Satelit MiST pula, kemahiran mikrosurgeri amat penting dalam mengendalikan kes-kes tertentu dan memerlukan kemahiran yang tinggi. Penggunaan mikroskop serta koordinasi tangan dan mata amat penting untuk memberikan hasil yang terbaik buat pesakit dan latihan berterusan di makmal memberi peluang yang baik kepada pelatih surgeri untuk mengasah teknik sebelum diaplikasikan kepada pesakit,” katanya lagi.
Majlis Pelancaran Pusat Integrasi Simulasi Klinikal telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir disaksikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Naib Canselor Gulf Medical University, Profesor Manda Venkatramana; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim; Timbalan Pengarah Kampus, Profesor Dr. Adam Husein dan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel
- Created on .
- Hits: 1391