USM-HANNAN MEDISPA JALIN KERJASAMA PENYELIDIKAN
KOTA BHARU, 20 Ogos 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Hannan Medispa Group bagi menghasilkan satu prototaip untuk membantu pesakit yang mengalami masalah 'facial pain'.
Dokumen MoA itu ditandatangani oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dan Presiden Hannan Medispa Group, Dato' Dr. Mohd Hannan Mohd Yusof.
Naib Canselor berkata dalam ucapannya, "USM menyambut baik kerjasama strategik antara universiti dan industri kerana universiti mempunyai kepakaran, teknologi dan kebolehan yang dapat membantu memajukan industri tempatan di samping meningkatkan KPI universiti sendiri."
"Adalah diharapkan melalui kolaborasi ini, penyelidik USM dapat hasilkan prototaip tersebut dengan bantuan dana yang disalurkan oleh Hannan Medispa dan ianya dapat dikomersilkan.
“Ini adalah salah satu cara universiti membantu industri tempatan yang bertaraf SME untuk mencapai tahap 'unicorn’,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Penyelidik yang juga Pakar Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Pergigian USM, Dr. Nur Karyatee Kassim berkata, penyelidikan yang turut disertai oleh pensyarah perubatan serta staf pemulihan bakal menghasilkan alat menggunakan teknologi 'wireless' dan percetakan tiga dimensi (3D printing).
"Hannan Medispa bersetuju menyalurkan dana bagi membiayai penyelidikan sehinggalah produk inovasi yang dikenali sebagai 'Face UP v1.0' dihasilkan.
"Kami amat berterima kasih kepada Hannan Medispa di atas kerjasama pintar ini kerana secara tidak langsung membuktikan bahawa golongan pakar perubatan bukan sahaja merawat pesakit malahan bertanggungjawab menjalankan penyelidikan dan inovasi dalam penambahbaikan pengurusan pesakit,” katanya.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid
- Created on .
- Hits: 1858