USM-KESATRIA-KITAB LESTARIKAN ILMU PENGETAHUAN DALAM KALANGAN KAKITANGAN KEMAS
PULAU PINANG, 26 Ogos 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) bagi penawaran kursus Diploma Pengurusan Organisasi Lestari untuk kakitangan KEMAS. Dalam majlis yang sama, KITAB juga menandatangani MoU bersama Kesatuan Kakitangan KEMAS (KESATERIA) untuk program yang sama.
Modul bagi kursus diploma ini digubal oleh pensyarah USM dan KITAB dan bakal mula dilaksana penghujung tahun ini di KITAB. Para graduan Sijil Pengurusan Organisasi Lestari yang mengikuti pengajian selama empat bulan di Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), USM berpeluang melanjutkan pengajian di KITAB di peringkat diploma.
Seramai 109 graduan bagi kohort kedua telah bergraduasi baru-baru ini dan sijil telah disampaikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.
“Setelah mengikuti diploma tersebut, para pelajar boleh mengintai-intai peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dalam Program Pengajian Jarak Jauh USM yang turut menawarkan pelbagai program untuk dipilih,” kata Naib Canselor.
Para peserta sijil ini didedahkan dengan lima subjek utama iaitu Teknologi Maklumat dalam Organisasi, Kewangan Lestari, Komunikasi Lestari, Pengenalan Kepada Kerja Sosial dan Perlakuan Dalam Organisasi.
Turut hadir meraikan graduan ialah Rektor KITAB, Dato’ Dr. Mustapa Kassim; Pengarah Sumber Manusia dan Pentadbiran mewakili Timbalan Ketua Pengarah KEMAS Malaysia, Ahmad Joharee Mohamed; Timbalan Presiden CUEPACS mewakili Presiden, Zainal Ismail; Pengarah CGSS, Dr. Suzyrman Sibly dan Presiden Kesatuan Kakitangan KEMAS Malaysia (KESATERIA), Abdullah Mohamed Shariff serta para pensyarah dan ahli keluarga graduan.
Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1694