SAMBUTAN 50 TAHUN USM: MEWUJUDKAN SAAT DAN PENGALAMAN PENUH MAKNA
PULAU PINANG, 22 Ogos 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM), universiti kedua tertubuh di negara, sedang rancak mengadakan sambutan ulang tahunnya yang ke-50 pada tahun ini.
Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein, selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan 50 Tahun USM, memaklumkan hal ini sewaktu ditemuduga baru-baru ini.
Ditubuhkan pada tahun 1969, USM telah mengalami pertumbuhan pesat dalam pelbagai aspek.
Beliau memaklumkan bahawa selain dari Kampus Induk di Pulau Pinang, USM masa kini terdiri daripada Kampus Kejuruteraan yang terletak di Nibong Tebal, Pulau Pinang serta Kampus Kesihatan di Kubang Kerian, Kelantan. Selain itu, terdapat sebuah kampus di Karnataka, India yang diuruskan bersama Kumpulan KLE, iaitu Kampus Perubatan USM-KLE.
“Jumlah mahasiswa juga telah meningkat saban tahun, kata beliau lagi. “Dari kemasukan pertama yang hanya terdiri daripada 57 orang, jumlah mahasiswa terkini melebihi 32,000 orang di pelbagai peringkat pengajian,” kata Adnan, yang juga mantan Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni.”
Tambahnya lagi, sambutan 50 tahun ini dijalankan sepanjang tahun, dengan sebahagian besar aktiviti berkaitan dilangsungkan pada bulan Ogos dan September.
“Selain dari persembahan khas, acara dan penghasilan cenderamata edisi terhad, ia juga berkait rapat dengan usaha meraikan bekas pelajar atau alumni.
“Mereka akan dijemput untuk hadir ke ‘Makan Malam Mega’ di samping ‘mengimbau kembali pengalaman lalu’ di Pusat Pengajian serta Desasiswa (kediaman pelajar) masing-masing, agar mereka berpeluang bertemu rakan-rakan lama dan baru serta melihat pelbagai perubahan yang telah dilaksanakan,” kata beliau.
Adnan juga berkata bahawa agenda USM berkaitan kelestarian masih dikekalkan dan terus berkembang. Sejak terpilih menerajui status APEX pada tahun 2008 hingga kini, USM telah diiktiraf dengan meluas dalam usahanya ke arah kelestarian.
“USM telah menerima pengiktirafan dari pihak Bangsa-Bangsa Bersatu di atas program pendidikannya yang memenuhi keperluan ‘Sustainable Development Goals’ SDG 4, serta berada di tahap kedua terbaik dunia.
“USM juga telah diiktiraf sebagai universiti terbaik negara dan tersenarai di No 49 dunia dalam Times Higher Education (THE) University Global Impact Rankings,” ujar beliau.
Menurut Adnan, secara ringkasnya USM telah menghasilkan impak di dalam pelbagai bidang di arena global masa kini.
“USM terus melangkah jauh di ambang sambutan ulang tahunnya yang ke-50 ini.
“Dengan persekitaran dan suasana akademiknya yang unik, USM pastinya akan menjadi pilihan yang tepat bagi mereka yang ingin melanjutkan pengajian ke menara ilmu.”
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 1454