USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KOMITED BEBASKAN ‘PENJAJAHAN’ TEMBAKAU

usmtembakau

PULAU PINANG, 9 Feb.2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) bertekad untuk merealisasikan matlamat persekitaran kampus bebas tembakau, termasuk dalam aspek pencemaran asap rokok, pengiklanan, promosi, penajaan, penjualan dan sebagainya.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, bebas tembakau tidak bererti untuk hanya memastikan warganya tidak merokok dalam kampus, tetapi membawa harapan lebih besar untuk membebaskan sebarang bentuk ‘penjajahan’ tembakau.

Katanya, projek USM Bebas Tembakau tersebut turut bertujuan melindungi seluruh warga kampus dan pelawat daripada pendedahan kesan mudarat asap rokok dengan membangunkan polisi bebas tembakau yang komprehensif.

``USM akan terus memberikan komitmen dan sokongan kepada semua pihak untuk menjayakan matlamat ini menggunakan segala kepakaran dan rangkaian yang ada,’’ ujarnya dalam sidang media selepas menandatangan memorandum perjanjian (MoA) di sini hari ini.

MOA berkenaan dimeterai bersama rakan kolaborasi strategik iaitu Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat). MySihat diwakili oleh Pengerusinya, Toh Puan Dato Seri Dr. Aishah Ong. Turut

Omar juga berkata, projek USM Bebas Tembakau itu telah mula dijalankan pada pertengahan tahun lalu dengan sokongan pembiayaan dari MySihat berjumlah RM 500,000 untuk tempoh tiga tahun bermula 2013 hingga 2015.

Katanya, pembiayaan tersebut merangkumi tiga aspek rangka kerja termasuk program bina upaya dan promosi kesihatan khususnya kawalan tembakau untuk pelajar USM, penyediaan bahan promosi dan advokasi serta Majlis Pelancaran USM Bebas Tembakau.

``Lebih 80 peratus daripada keseluruhan pembiayaan adalah untuk program bina upaya melibatkan 1,500 pelajar USM yang terpilih, yang mana sebahagiannya adalah dari kalangan mereka yang telah menjalani program sukarelawan anjuran Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM.

``Para pelajar ini akan melalui tiga peringkat latihan termasuk kursus intensif promosi kesihatan, bengkel inisiatif bebas tembakau dan akhirnya mereka perlu melaksanakan projek komuniti berkaitan persekitaran bebas tembakau dalam dan luar kampus,’’ ujarnya.Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 2458

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024