WARGA USM BERSAING DALAM SUASANA KESEPAKATAN
PULAU PINANG, 17 Ogos 2019 – Hari Warga Universiti Sains Malaysia (USM) 2019 telah berlangsung hari ini di Stadium Olahraga dan Kompleks Sukan Azman Hashim di Kampus Induk USM dengan penuh meriah sekali.
Program ini buat julung kalinya melibatkan penyertaan warga USM pelbagai kumpulan; dari staf, pelajar, pesara hingga ke golongan alumni.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa ini adalah kali pertama Hari Warga USM ini melibatkan penyertaan dari empat kumpulan yang datang dari empat kampus utama USM.
Usaha ini bertujuan untuk mewujudkan suasana kekeluargaan dan mengukuhkan hubungan sesama warga USM dari pelbagai peringkat, jauh dan dekat.
Asma mengingatkan agar para peserta dapat mewujudkan suasana semangat kesukanan dan persaingan sihat di dalam setiap acara yang disertai.
Katanya lagi, Hari Warga ini menjadi platform terbaik untuk kita semua berhenti seketika dari memikirkan soal kerja dan KPI semata-mata, sebaliknya semua peserta harus manfaatkannya untuk beriadah dalam suasana berpasukan yang harmoni dengan semangat kesukanan tinggi untuk mencapai kemenangan bagi pasukan masing-masing.
Asma juga telah menerima Obor Larian sempena 50 tahun USM yang telah diadakan sebelum ini di beberapa lokasi. Obor tersebut telah diserahkan oleh Dato’ Azman Abdullah, mantan Pendaftar USM dan juga Yang Dipertua Kelab Jasa Budi (pesara) USM.
Terdahulu, pertandingan boling telah diadakan di sebuah kompleks membeli-belah berhampiran. Di awal paginya juga telah diadakan acara Larian Kampus dan Photo Hunt.
Sejumlah 7 kontinjen akan bersaing dengan penuh bersemangat dalam 12 acara yang dipertandingkan.
7 kontinjen yang bertanding itu terdiri daripada Merbah Surih, Tampung Bajau, Birik-Birik, Sambar Kuning (Kampus Induk); Pekaka Udang (Kampus Kesihatan), Pipit Hutan (Kampus Kejuruteraan) dan Pucung Harimau (Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, IPPT).
Program Hari Warga Staf ini akan diakhiri dengan pertandingan persembahan bertemakan ‘boria’ yang akan diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM pada malam harinya.
Yang turut hadir ialah Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pendaftar merangkap Pengerusi Sekretariat Hari Warga USM 2019, Dr. Musa Ali dan barisan pengurusan tinggi universiti.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe/Foto: Ebrahim Abdul Manan & Mohamad Zaidi Jaini
- Created on .
- Hits: 1220