AGENDA APEX MENJADI TARIKAN UNTUK SAMBUNG PENGAJIAN DI USIA EMAS
PULAU PINANG, 8 Ogos 2019 – Norhayati Sidikah Abu Bakar, 60 menjadikan agenda Program Pemacuan untuk Kecemerlangan atau Accelerated Programme for Excellence (APEX) yang dibawa oleh Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai tarikan untuk menyambung pengajiannya di sini.
“USM yang diberi taraf APEX sejak tahun 2008 mengetengahkan agenda untuk memastikan kelestarian hari esok serta mengupayakan golongan terkebawah (B40) selari dengan minat saya yang telah melibatkan diri dalam badan bukan kerajaan (NGO) sejak 40 tahun lalu,” kata Norhayati Sidikah, pelajar baharu Rancangan Pengajian Jarak Jauh Sidang Akademik 2019/2020 di sini hari ini.
“Selain mempunyai agenda dalam membantu golongan terkebawah yang selari dengan agenda USM, saya memilih USM setelah melihat kejayaan anak yang bergraduasi di USM pada tahun lalu,” tambah Norhayati Sidikah yang mempunyai tujuh orang anak dan 13 orang cucu.
“Saya pernah memasang impian untuk menyambung pengajian di USM suatu ketika dulu, namun setelah menghadiri upacara konvokesyen anak tahun lalu di sini, saya terus menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian kepada suami dan anak-anak dan menerima reaksi positif dan sokongan yang baik,” katanya yang mendaftar bagi program Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan.
Rosezan Mohamad Isa, 53, yang bekerja sebagai kaunselor pesakit di Institut Jantung Negara (IJN) juga meminati aktiviti kemasyarakatan berhasrat untuk lebih aktif selepas tamat pengajian kelak dan menimba lebih banyak ilmu ketika di USM.
Norhayati Sidikah dan Rosezan adalah antara 977 pelajar baharu yang diraikan dalam Majlis Sambutan Siswa dan Ikrar Pelajar Baharu USM bagi sidang kali ini. Seramai 420 orang akan mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan, 335 orang - Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan, 138 orang - Ijazah Sarjana Muda Sains dan 84 orang - Ijazah Sarjana Muda Sastera.
Sebagai perintis program jarak jauh di Malaysia, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM telah berjaya melahirkan seramai 23,861 graduan dalam pelbagai bidang sejak penubuhannya pada tahun 1971.
Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohd Fairus Md Isa, Ebrahim Abdul Manan & Mohamad Zaidi Jaini
- Created on .
- Hits: 1513