NURAIDA SHAFIZA BUKTIKAN KEMAMPUAN WANITA JADI KOMANDER PERBARISAN
PULAU PINANG, 2 Ogos 2019 – Pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor SUKSIS) Universiti Sains Malaysia (USM), Nuraida Shafiza Abdul Jalil, 24 membuktikan kemampuan wanita dalam pasukan beruniform tersebut apabila dipilih sebagai Komander Perbarisan (Parade Commander) bagi Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor SUKSIS Universiti Awam (UA) Ke-15 tahun 2019.
Lebih manis, beliau berjaya mencatat sejarah apabila menjadi Komander Perbarisan wanita pertama sejak majlis berkenaan diperkenalkan sehingga ke edisi ke-15 ini.
Nuraida adalah pelajar tahun akhir dalam bidang Pengurusan dan sangat meminati badan beruniform sejak di bangku sekolah rendah dan pernah menyertai pasukan Bomba, Kadet Polis dan seterusnya Kor SUKSIS.
“Minat untuk menyertai badan beruniform itu lahir dalam diri sendiri tanpa paksaan dan tiada langsung ahli keluarga yang menyertai mana-mana badan beruniform tersebut,” tambah Nuraida, anak kedua dari lima adik-beradik itu.
“Saya sudah melakukan yang terbaik sepanjang tempoh pemilihan setelah diberi mandat oleh ketua jurulatih dan bersyukur terpilih sebagai Komander Perbarisan di antara empat pelatih yang disenarai pendek oleh UA masing-masing dari 1,167 orang pelatih.
“Sememangnya saya berbangga dapat membawa nama USM di pentauliahan pada kali ini, tambahan pula USM menjadi tuan rumah untuk majlis ini bersempena sambutan 50 tahunnya,” katanya yang berhasrat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang tersebut.
Majlis berprestij akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, YDH DIG Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor dan dihadiri oleh Naib Canselor dan Komandan-komandan Kor SUKSIS dari seluruh UA tanah air.
Para pelatih yang ditauliahkan telah melalui modul latihan selama tiga tahun yang dibentuk khas dan memberi penekanan bagi menanam kefahaman terhadap kerjaya kepolisan dalam kalangan pelatih di samping melengkapkan diri daripada segi ketahanan mental, fizikal dan disiplin diri.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain/Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1944