NC & ISTERI UCAP SELAMAT TAHUN BAHARU CINA
“Tahun Baharu Cina yang bakal tiba ini seharusnya disambut dengan penuh kesyukuran dan digunakan sepenuhnya untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai lapisan yang sentiasa hormat menghormati dan saling bertoleransi dalam suasana meriah dan aman damai,” kata Profesor Dato’ Omar Osman, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM)
Beliau dan isteri, Datin Noraizan Jamaludin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh warga USM, para alumni, saudara-mara dan rakan taulan di mana sahaja berada.
“Kita amat bertuah dapat menyambut pelbagai perayaan dan meraikan kepelbagaian budaya yang ada dengan menjadikannya sebagai satu mekanisme utama untuk saling kunjung-mengunjung, bersalaman dan memahami di antara satu dengan lain,” kata Omar.
Memandangkan cuti perayaan yang panjang, Naib Canselor meminta para pelajar mahu pun warga lainnya untuk saling kunjung mengunjung di samping berhati-hati memandu kenderaan biar di mana pun berada.
“Kita sedar dengan pertambahan kenderaan di jalan raya yang mengundang pelbagai kedukaan apabila tidak berhati-hati dan memandu melebihi had laju yang ditetapkan mahu pun sikap tidak bertanggungjawab sesetengah orang yang boleh menyebabkan kemalangan, jadi saya mohon agar semua lebih berhati-hati dan sabar,” kata Omar.
Menurutnya lagi, perayaan Tahun Baharu Cina seharusnya menjadi landasan untuk kita mengukuhkan lagi persefahaman yang ada dan menjalin hubungan akrab dalam semangat perpaduan sejati demi masa hadapan negara yang harus dipertahankan kemakmuran, kedamaian dan kedaulatannya.
“Apatah lagi bagi warga universiti yang sewajarnya menjadikan ilmu pengetahuan sebagai teras utama perpaduan dan menghormati silang budaya yang ada,” kata Omar lagi.
SELAMAT TAHUN BAHARU CINA.
- Created on .
- Hits: 2064