USM TUAN RUMAH PENTAULIAHAN KOR SUKSIS UA 2019
PULAU PINANG, 28 Julai 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor SUKSIS Universiti Awam (UA) Ke-15 Tahun 2019 pada 4 Ogos depan.
Majlis berprestij yang menghimpunkan kira-kira 1,180 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor SUKSIS) itu dijangka akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, YDH DIG Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor dan dihadiri oleh Naib Canselor dan Komandan-komandan Kor SUKSIS dari seluruh UA tanah air.
Pada majlis berkenaan juga, pelatih Kor SUKSIS akan menyertai Perbarisan Tamat Latihan dan Pemeriksaan Perbarisan oleh Timbalan Ketua Polis Negara di Padang Kawad USM, seterusnya menerima watikah pelantikan sebagai Pegawai Kor SUKSIS di Dewan Tuanku Syed Putra.
Pelatih-pelatih Terbaik Keseluruhan juga turut akan diumumkan pada majlis berkenaan, sekaligus menerima hadiah dari Timbalan Ketua Polis Negara.
Komandan Kos SUKSIS USM, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, USM teruja menjadi tuan rumah kerana ia bersempena dengan sambutan 50 tahun USM yang turut berlangsung sepanjang tahun ini.
Katanya, USM sentiasa bersedia bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan kelancaran majlis khususnya dengan rakan Kor SUKSIS dari seluruh UA, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mewujudkan semangat bersatu-padu dan komitmen tinggi dalam menguruskan majlis berprestij berstatus nasional ini.
“USM turut mengambil peluang merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelatih yang dilantik sebagai Pegawai Kor SUKSIS pada majlis tersebut. Ini menunjukkan bahawa para pelatih adalah yang terbaik dan diharap selaku pegawai sukarelawan polis, para pelatih akan menjadi individu yang berjaya dalam kerjaya diceburi serta dapat terus membantu PDRM dalam mengekalkan keharmonian dan keamanan negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, objektif penubuhan Kor SUKSIS adalah bagi melahirkan mahasiswa yang mempunyai semangat jati diri dan disiplin yang tinggi, membentuk mahasiswa yang intelektual dan berkarisma dalam kepimpinan serta memupuk semangat setia kawan dalam kalangan mahasiswa yang berbilang kaum dan agama.
Para pelatih yang ditauliahkan telah melalui modul latihan selama tiga tahun yang dibentuk khas dan memberi penekanan bagi menanam kefahaman terhadap kerjaya kepolisan dalam kalangan pelatih di samping melengkapkan diri daripada segi ketahanan mental, fizikal dan disiplin diri.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 2471