NAIB CANSELOR SERU WARGA USM JADIKAN KERJA SEBAGAI IBADAH
KOTA BHARU, KELANTAN, 26 Julai 2019 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail menyeru seluruh warga kampus USM untuk menerapkan budaya bekerja sebagai satu ibadah umum yang mana ia tidak seperti solat, puasa, zakat dan haji yang tuntutannya adalah tertakluk kepada waktu dan kaedah yang khusus.
Menurut Asma, sesuatu pekerjaan yang tidak bertentangan dengan syariah Islam dan dilakukan semata-mata untuk mendapatkan redha Allah adalah ibadah biarpun pekerjaan tersebut adalah sekecil-kecil tindakan.
"Ibadah umum ini memberikan ruang yang luas kepada kita untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah SWT dalam setiap tindak tanduk dan ini merupakan satu sumber motivasi agar kita yang bekerja terus bekerja dan melakukannya dengan nilai tambah yang tinggi," ujarnya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018, di Hotel Grand Renai, di sini.
Asma berkata, mutu sesuatu pekerjaan bukan hanya berada pada kualiti pekerjaan itu semata-mata tetapi ia juga bergantung kepada manfaat yang dapat diberikan kepada orang ramai.
"Marilah sama-sama kita sematkan dalam hati masing-masing untuk terus menaburkan khidmat dengan ikhlas kepada USM yang dicintai ini demi kelestarian pendidikan tinggi anak bangsa di masa hadapan.
"Jangan jadi pekerja yang suka kipas 'boss' untuk mendapatkan sesuatu pengiktirafan, sebaliknya tekadkan dalam diri kita untuk menjalankan amanah yang diberi dengan penuh tanggungjawab dan seikhlas hati," jelasnya lagi.
Tambah Asma, dengan penglibatan kerjasama dan komitmen oleh seluruh warga USM, maka hasrat untuk membawa USM ke persada dunia dan dunia ke USM akan menjadi suatu kenyataan.
"Di dalam meniti usia USM yang menjangkau 50 tahun penubuhannya, warga USM seharusnya mempunyai semangat bekerja yang penuh komited dalam memastikan USM sentiasa relevan di dalam arus pendidikan negara," katanya.
Pada majlis APC kali ini, seramai 432 warga staf cemerlang dari seluruh Pusat Tanggungjawab (PTJ) di Kampus Kesihatan telah dipilih sebagai penerima APC 2018 dan daripada jumlah tersebut, 47 staf adalah dalam kalangan staf akademik, 41 staf pengurusan dan profesional serta 344 staf pelaksana.
Majlis ini juga turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Aldrin Abdullah; Pendaftar USM, Dr. Musa Ali; Bendahari USM, Dr. Rohayati Isa; Ketua Pustakawan USM, Rugayah Ali dan Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim.
Teks & Foto: Mohamad Iqmal Mathlan
- Created on .
- Hits: 891