TRANSFORMASI LELAKI: KHUATIR PELAJAR LELAKI HILANG MINAT BELAJAR
PULAU PINANG, 6 Feb. 2013 – Kebimbangan terhadap fenomena semasa melibatkan isu hilang minat dalam kalangan pelajar lelaki mengikuti pengajian di sekolah disuarakan wakil guru kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini semalam.
Kebimbangan itu disertai dengan cadangan kepada pihak kerajaan untuk mengkaji semula kaedah yang lebih berkesan dalam menarik minat pelajar lelaki untuk belajar, termasuk memperkenalkan program kemahiran yang berupaya memberi manfaat kepada mereka kelak.
Seorang pengetua dari sebuah sekolah di sini berkata, beliau bimbang keengganan pelajar memberi tumpuan kepada pelajaran memberi kesan tidak baik untuk masa depan pelajar dan juga sekolah, khususnya sekolah yang bertaraf band empat, lima dan ke atas.
Menjawab pertanyaan itu, Muhyiddin berkata, perkara itu sememangnya dalam perhatian pihak kerajaan dan usaha giat sedang dijalankan bagi melihat langkah-langkah yang boleh diatasi untuk menangkis permasalahan tersebut.
``Kerajaan komited dalam melakukan transformasi pendidikan vokasional bagi menarik minat pelajar lelaki mengoptimumkan potensi diri selain akademik,’’ ujarnya yang juga memegang portfolio Menteri Pelajaran.
Muhyiddin turut menjawab beberapa persoalan termasuk permasalahan perumahan di Pulau Pinang, penguasaan bumiputera dalam bidang ekonomi negara, isu brain drain dan pelbagai lagi dalam program Dialog TPM Bersama Kumpulan Profesional Pulau Pinang.
Dialog bertemakan The Transformation Journey itu dipengerusikan oleh Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman. Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng. Yen Yen.Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa
- Created on .
- Hits: 2747