USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN HEALING LITTLE HEARTS BERI HARAPAN BAHARU

little heart 2

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Julai 2019 – Lemah longlai seluruh badan tatkala dimaklumkan oleh doktor, anak kesayangan mengidap jantung berlubang seawal usia empat bulan. Itulah perasaan yang dirasakan serta kenyataan yang harus dihadapi oleh Asmaham Ibrahim, 40, seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Che Deris, Kota Bharu.

Menurut Asmaham, pada mulanya, anaknya Nur Syafiqah Irdina Mohd Ruslam, 10 bulan, hanya mengalami demam dan beliau telah membawa ke Pusat Trauma dan Kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menerima rawatan.

"Apabila doktor membuat pemeriksaan termasuk x-ray, doktor dapati ada lubang di jantung anak saya dan doktor turut memaklumkan kemungkinan lubang tersebut akan tertutup sendiri.

"Namun begitu, dalam masa enam bulan, sebanyak tiga kali anak saya dimasukkan ke wad dan doktor pernah mencadangkan untuk merujuk kes anak saya ke Institut Jantung Negara (IJN)," ujarnya menyoroti kembali situasi lalu.

Nur Syafiqah merupakan pesakit pertama yang menjalani pembedahan penyakit jantung kongenital di bawah program Kebajikan Pediatrik Kardiotorasik kerjasama USM dan 'Healing Little Hearts' (HLH) dari United Kingdom bagi edisi ketujuh sejak ianya bermula pada tahun 2015. 

little heart

Tambah Asmaham, sepanjang menemani anak bongsu beliau itu menerima rawatan sejak bulan Oktober tahun lalu, beliau sangat terharu dengan perkhidmatan dan layanan oleh semua petugas di Hospital USM. 

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur apabila dimaklumkan oleh doktor bahawa anak saya terpilih untuk menjalani pembedahan di bawah program 'Healing Little Hearts' ini di Hospital USM kerana kami sekeluarga sememangnya menghadapi kekangan untuk mendapatkan rawatan di IJN disebabkan faktor penjagaan anak-anak yang lain.

"Saya juga berharap lebih banyak pihak serta orang perseorangan tampil memberikan sumbangan kepada tabung kebajikan ini bagi membolehkan ramai lagi pesakit yang mengidap penyakit jantung kongenital dapat dibedah dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain," jelasnya lagi.

Sementara itu, Muhammad Aish Faaeq Muhammad Azmi, 13 bulan, juga seorang bayi bertuah yang turut menjalani pembedahan di bawah program ini akibat mengalami salur darah utama yang sempit, selamat dibedah selama hampir empat jam pada 21 Julai lalu.

Menurut neneknya, Saodah Daud, 58, penyakit cucunya itu mulai dikesan ketika usia dua bulan ekoran mengalami sesak nafas.

little heart 1

"Saya sangat bersyukur atas rezeki dari Allah SWT yang tidak dijangka ini kerana memudahkan proses rawatan ke atas Faaeq yang dikhuatiri akan mengalami kegagalan jantung, gangguan tumbesaran dan tidak dapat membesar secara normal seperti kanak-kanak lain sekiranya pembedahan lambat dilakukan ke atasnya.

"Terima kasih juga kepada Hospital USM dan pasukan 'Healing Little Hearts' yang membantu meringankan beban kami kerana saya percaya sekiranya pembedahan ini dijalankan di IJN, ia pastinya menelan kos rawatan yang tinggi," katanya yang juga merupakan pesara guru.

Teks & Foto: Lailatul Hafiza Abdul Rashid & Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

  • Created on .
  • Hits: 1231

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024