NAIB CANSELOR USM TERSENARAI SEBAGAI AHLI KEELE UNIVERSITY COLLEGE OF FELLOWS
PULAU PINANG, 21 Julai 2019 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail buat julung kalinya dilantik sebagai Keele University College of Fellows, satu pengiktirafan atas kepakaran, pencapaian dan sumbangan besar beliau dalam bidang pendidikan baik di dalam mahu pun di luar negara.
Asma, yang juga penerima Ijazah Kehormat ‘Doctor of Science’, Keele University 2017 disifatkan sebagai antara tokoh akademik berpengaruh dan figura wanita terbilang, dilantik sebagai felo dalam majlis khas bersempena upacara konvokesyen di Keele University, Staffordshire, United Kingdom baru-baru ini.
Para anggota Keele College of Fellows terdiri dari individu-individu cemerlang dari pelbagai bidang yang dipilih khas untuk membantu memajukan Universiti. Mereka memberi sokongan dan dorongan melalui forum secara informal demi memantapkan lagi halatuju perkembangan Universiti. Pelantikan sebagai ahli ke Keele College of Fellows adalah anugerah tertinggi yang diberikan oleh pihak Universiti.
Asma berkata, “Ia adalah satu penghargaan untuk kembali semula ke sini dan dipilih sebagai ahli College of Fellows serta termaktub sebagai sebahagian dari sejarah universiti ini.”
“Saya berasa amat dihargai serta terharu dengan pengiktirafan sebegini sekali lagi dan seperti sebelumnya, peluang untuk hadir dalam kalangan ahli akademik ternama, para graduan serta keluarga mereka juga adalah satu penghormatan.”
Dalam ucapan beliau, Asma menyentuh tentang perlunya pendidikan yang seimbang yang menekankan kepentingan ilmu pengetahuan serta nilai-nilai, yang berperanan sebagai kunci ke arah transformasi perubahan ilmu dan minda dalam membentuk masyarakat yang lebih baik di masa hadapan.
“Amat penting bagi semua universiti untuk melatih warga dunia masa depan untuk menjadi individu yang bertanggungjawab serta mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat secara terangkum, berfikiran multi-dimensi serta seimbang dalam menghargai alam sekitar, aspek kemanusiaan, penggunaaan teknologi dan juga terdidik dengan nilai-nilai sejagat.”
"Pendidikan yang kita tumpukan pada masa kini adalah yang dapat memberikan pengalaman global supaya para graduan kelak bukan hanya sekadar keluar untuk membina kehidupan namun berupaya memberi impak,” ujarnya.
Asma dalam ucapannya juga turut memberi saranan agar para graduan dapat mencipta peluang kerjaya (job creator) daripada hanya menjadi job seeker.
Beliau menambah, "Tiada sebarang magis atau jalan pintas untuk graduan mencapai kemuncak kejayaan. Mereka masih perlu melangkah dari setangga ke setangga pada satu-satu masa, namun dengan kesungguhan, dedikasi dan disiplin yang tinggi, kejayaan akan menjadi milik mereka akhirnya.”
Terdahulu dalam ucapan pembukaannya, Naib Canselor Keele University, Profesor Trevor McMillan berkata, "Lantikan menjadi Keele University College of Fellows adalah atas sumbangan terbilang individu dalam bidang kepakaran masing-masing termasuk sarjana keilmuan, ahli pemikir bidang kemanusiaan, pemimpin dan sebagainya.
“Kami amat berbangga kerana anda menjadi sebahagian daripada komuniti Keele,” katanya.
Terjemahan: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1129