USM RINTIS PENARAFAN IMPAK PROGRAM LIBATSAMA
PULAU PINANG, 6 Feb.2013 – Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) telah memilih Universiti Sains Malaysia (USM) bagi merintis proses penarafan berkenaan impak dan output program-program libatsama komuniti yang telah dilaksanakan.
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, USM telah diminta untuk menjalankan proses mengukur impak dan melihat kesannya kepada pembangunan masyarakat, khasnya dalam aktiviti berbentuk khidmat komuniti, perhubungan industri, kesukarelawanan dan sebagainya.
Katanya, proses penarafan itu yang dijangka bermula pada penghujung Februari depan akan dibuat melalui satu kerangka yang telah dipersetujui oleh KPT dan USM.
``Ekoran dari situ kita akan cuba memperkukuhkan kerangka kerja supaya ianya dapat dilebarkan dan dijadikan satu panduan untuk mengukur bagaimana kesan program libatsama komuniti dengan masyarakat dapat dilaksanakan secara optimum.
``Ia turut memberi USM satu pandangan lebih jelas bagi menghasilkan kepuasan bukan sahaja kepada para pelajar, pensyarah mahupun masyarakat, tetapi turut memberi kesan kepada tahap kesihatan, pendidikan, ekonomi, kebersihan dan sebagainya,’’ kata beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Sijil Libatsama Komuniti: Budi Dituai Bakti Dikenang di sini hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ See Ching Mey.
Tambah Omar, USM telah menjalankan pelbagai bentuk program libatsama komuniti, termasuk projek pembekalan air bersih kepada masyarakat orang asli, kaedah terapi yang memberi kestabilan keapda kanak-kanak spastik, kaedah braille dan lain-lain.
Selain itu katanya, USM turut menubuhkan tadika inklusif di antara kanak-kanak autistik dengan normal, program anak angkat dalam kalangan masyarakat orang asli, pemberian tuisyen percuma dan sebagainya.
``Semua usaha ini sejajar dengan hasrat KPT iaitu untuk memberi tumpuan kepada golongan terpinggir untuk turut serta menikmati pengetahuan dan kepakaran dari menara gading.
``Ia turut bertetapatan dengan misi USM dalam memperkasa masayarakat terpinggir dan memberi nilai tambah kepada bidang ilmu untuk pembangunan masa depan negara,’’ jelas beliau.
Dalam pada itu, seramai 413 penerima dalam kalangan warga kampus telah diiktiraf atas sumbangan mereka menjalankan plebagai program libatsama komuniti, dan daripada jumlah itu, 35 menerima sijil kecemerlangan manakala selebihnya menerima sijil penghargaan.
Sejak tahun 2008 hingga 2012, sejumlah 214 projek yang melibatkan pembiayaan RM 4.2 juta telah dilaksanakan dengan jayanya dan memberi ilmu pada yang tiada, memahirkan mereka yang tidak mahir serta memberi sinar kepada masa depan yang malap.
USM turut memperkenalkan geran tambahan berjumlah RM272 ribu pada tahun 2012 bagi 44 projek ad-hoc bersifat one-off yang telah dibelanjakan secara berhemah dalam menjayakan hasrat murni membantu memperkasakan masyarakat itu. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 2523