18 BUAH NEGARA BERKUMPUL DI PERSIDANGAN ILLC 2019
GEORGETOWN, PULAU PINANG, 18 Julai 2019 – Buat kali kelapan Persidangan Antarabangsa Pembelajaran Bahasa (ILLC 2019) anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya mengumpulkan peserta dari 18 buah negara yang terdiri daripada ahli akademik, penyelidik dan pakar bahasa selama tiga hari bagi mengetengahkan isu-isu dan perspektif pembelajaran bahasa.
Sejumlah 170 orang peserta dari pelbagai disiplin bahasa dari negara Iran, Jordan, Yemen, Bangladesh, Singapura, Thailand, China, Korea Selatan dll. turut membentangkan 75 kertas kerja bagi berkongsi pengalaman dan kepakaran berkaitan isu melibatkan pengajaran, pembelajaran bahasa dan terjemahan.
Pengerusi ILLC 2019, Profesor Dr. Tengku Sepora Tengku Mahadi berkata, persidangan ILLC yang diadakan saban tahun ini amat dinantikan oleh pakar-pakar bahasa peringkat antarabangsa kerana ia merupakan platform efektif bagi perkongsian isu semasa berkaitan hal ehwal bahasa termasuk mewujudkan jaringan antara ahli akademik bagi membangunkan penyelidikan bersama mahupun kolaborasi pada masa akan datang.
“Persidangan ini telah menyediakan peluang untuk akademik, penyelidik dan pakar bahasa menyampaikan ilmu dan pengetahuan yang dimiliki kepada golongan sasar yang lebih luas di peringkat antarabangsa. Ia membolehkan peserta meneroka aspek pengajaran dan pembelajaran bahasa termasuk cabaran dan hala tuju pada masa mendatang,” ucapnya pada majlis perasmian ILLC ke-8 yang diadakan di Eastern & Oriental (E&O) Hotel, di sini baru-baru ini.
Tambahnya bahasa adalah jambatan budaya untuk seluruh negara bagi menguatkan pemahaman, kepercayaan dan perhubungan yang mampu melangkaui batas sempadan antara negara.
“Jadi persidangan ILLC 2019 diharap mampu memberikan motivasi dan peluang kepada peserta bukan sahaja meneroka lebih luas bidang ini malah meningkatkan kolaborasi dan kerjasama antara negara bagi meningkatkan persefahaman budaya dan bangsa di setiap negara,” tambahnya.
Pada ucapan perasmian, Konsul Jeneral Negara Thailand, Tuan Yang Terutama Raschada Jiwalai berkata, pihak kerajaan Thailand amat menyokong persidangan seperti ini kerana ia adalah jambatan utama kepada perpaduan dan hubungan dua hala terutamanya negara berjiran seperti Thailand dan Malaysia.
“Saya percaya persidangan ini mampu memberi impak positif dan pelbagai manfaat buat semua peserta terlibat, terutamanya saling mempelajari antara satu sama lain bagi mengukuhkan bidang disiplin bahasa dan terjemahan ke peringkat tertinggi,” katanya.
Pada majlis yang sama, Profesor Dr. Joseph Lo Bianco, pakar pembelajaran bahasa dan pendidikan dari University of Melbourne, Australia turut menyampaikan ucaptama.
Yang turut hadir adalah Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan USM, Profesor Madya Dr. Salasiah Che Lah, wakil-wakil konsulat dan pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1505