USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MBBC SEMAI KESEDARAN TENTANG ILMU NEUROSAINS

Ong Kang Howe1

KOTA BHARU, KELANTAN, 6 Julai 2019 – Malaysian Brain Bee Challenge (MBBC) adalah salah satu inisiatif perkongsian ilmu untuk menyemai kesedaran berkaitan bidang ilmu Neurosains dalam kalangan generasi muda bermula pada peringkat sekolah menengah di Malaysia.

MBBC yang mula diperkenalkan pada tahun 2012 merupakan projek libatsama BrainBee@USM, Bahagian Jaringan Industri Masyarakat (BJIM) Universiti Sains Malaysia (USM), Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan USM dengan kerjasama Persatuan Jaringan Neurosains (SfN) Kelantan dan Persatuan Neurosains Malaysia (MSN).

Menurut Penyelaras MBBC kebangsaan yang juga pensyarah Perubatan dan Perunding Kajisaraf, Jabatan Neurosains, PPSP USM, Profesor Madya Dr. Muzaimi Mustapha, MBBC 2019 telah menarik penyertaan lebih 2,000 pelajar sekolah menengah seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang bertanding mengikut zon masing-masing pada bulan Mac lalu bagi merebut tempat ke pusingan akhir. ‎

Ahmad Darwisy Shaifuzain2

“Pusingan akhir peringkat kebangsaan pada tahun ini melibatkan 47 peserta teratas daripada 37 buah sekolah menengah seluruh negara dan melibatkan 16 zon.

“Juara MBBC pada tahun ini berpeluang untuk mewakili Malaysia ke Pertandingan International Brain Bee Championship (IBB) 2019 anjuran International Brain Research Organization (IBRO) yang dijadualkan berlangsung di Daegu, South Korea pada 18 hingga 21 September depan,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman pemenang MBBC 2019 di Persidangan Neurosains Kebangsaan ke-29, di Hotel Grand Riverview, di sini hari ini.

MBBC 2019 menyaksikan pelajar dari Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (SMSTMFP), Ahmad Darwisy Shaifuzain, 17, muncul juara selepas berjaya mengharungi lima bahagian ujian bertulis dan lisan pada pusingan akhir yang mendebarkan selama dua hari dalam pertandingan yang berlangsung di Hotel Ridel di sini.

Ahmad Darwisy Shaifuzain

Darwisy yang juga anak kepada Pakar Perunding Ortopedik USM, Dr. Shaifuzain Ab Rahman, 50, dan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang, Rosliza Bahari, 48, berjaya menewaskan 46 peserta lain sekaligus membolot hadiah wang tunai RM6,000 selaku juara.

Darwisy yang juga Timbalan Ketua Pelajar SMSTMFP dan bercita-cita menjadi Neurosaintis berkata, dia amat gembira kerana usaha gigihnya telah membuahkan hasil apatah lagi impiannya untuk mewakili negara sejak pertama kali menyertai MBBC pada tahun 2017 akhirnya tercapai.

"Ini merupakan kali ketiga saya menyertai MBBC selepas percubaan sebelum ini saya hanya layak ke pusingan akhir sahaja dan pada tahun ini merupakan satu kejayaan besar apabila saya diumumkan sebagai juara.

"Saya juga bertuah kerana mendapat sokongan penuh daripada kedua ibu bapa dan adik beradik yang lain selain turut dibantu oleh mentor-mentor yang berpengalaman dalam bidang Neurosains," ujarnya.

Ahmad Darwisy Shaifuzain5

Anak bongsu daripada tiga beradik ini juga turut berkongsi rasa berdebar untuk menimba pengalaman baharu bertanding dengan peserta negara-negara lain selain turut berharap agar kejayaan mengiringi langkahnya untuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Ahmad Darwisy Shaifuzain6

Tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM600 telah disandang oleh Ong Kang Howe, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, Seremban selain turut dinobat sebagai penerima Anugerah Al-Biruni dengan hadiah wang tunai RM500 dan tempat ketiga pula disandang oleh peserta dari Sabah, Alvin Daniel Brata Laurio, 17, dari SMK St. Joseph, Papar dengan hadiah wang tunai RM400.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Muhd Zulkifli Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 802

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024