USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM CADANG TUBUH PUSAT KERJASAMA USM-RIKEN

usmriken 1

PULAU PINANG,  4 Feb.2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) bercadang untuk menubuhkan pusat kerjasama dengan institusi penyelidikan terkemuka dunia, Institut RIKEN Jepun bagi memperkasa pembangunan penyelidikan rentas bidang yang berimpak tinggi.

Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, pusat kolaborasi multidisiplin itu akan melibatkan usaha ke arah mengukuhkan kerjasama penyelidikan yang telah pun berjalan dengan RIKEN sejak penandatanganan satu memorandum perjanjian (MoA) tahun lalu.

Katanya, antara cabang penyelidikan yang sedang dibangunkan secara bersama oleh kedua-dua pihak adalah sains muon, imunologi, biomass dan bioprobe.

``USM sedang meneliti beberapa penyelidikan dalam bidang lain yang dijangka akan memberi impak dan output tinggi kepada pembangunan ilmu khususnya dalam dunia sains,’’ ujarnya dalam sidang media selepas merasmikan majlis penutup Simposium USM-RIKEN di sini hari ini.

Tambah beliau, USM telah bersedia untuk merealisasikan hasrat mewujudkan pusat kerjasama tersebut dan sedang menjalani proses perbincangan secara intensif dengan pihak RIKEN bagi mempercepatkan proses penubuhannya.

``Kerjasama antara RIKEN dan USM telah bermula sejak 20 tahun yang lalu dan USM komited untuk mengukuhkan lagi perhubungan dengan RIKEN,khasnya setelah kita melihat pelbagai potensi penyelidikan yang dapat diteroka secara bersama melaui MoA yang dimeterai,’’ katanya.

usmriken2

Mengulas mengenai simposium itu, beliau berkata, ia menjadi platform penting dalam usaha kedua-dua pihak membincangkan program-program kerjasama dalam pembangunan penyelidikan dalam bidang-bidang yang dikenalpasti.

Katanya, 15 pembentangan kertas kerja telah dibuat yang mana tujuh daripadanya dibentangkan oleh ahli-ahli akademik RIKEN, meliputi bidang kejuruteraan bahan,bioteknologi, industri biomass dan sebagainya.

Selain itu katanya, beberapa usaha lain yang turut giat dijalankan di bawah kerjasama dua hala tersebut adalah fokus perbincangan ke arah mengukuhkan penyelidikan dalam bidang pengurusan, program pertukaran staf USM-RIKEN dan lain-lain.Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 2214

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024