ZULKEFLI A. HASSAN PRO-CANSELOR BAHARU USM, MENGGANTIKAN RAZALI ISMAIL
KUALA LUMPUR, 1 Julai 2019 – Mantan Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (LGU USM) Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dilantik sebagai Pro-Canselor USM yang baharu mulai 15 Julai 2019 untuk tempoh 5 tahun menggantikan Tan Sri Razali Ismail yang tamat tempoh perkhidmatannya.
Canselor USM, D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan majlis ringkas penyerahan watikah pelantikan kepada Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan di Istana Siraj, Kuala Lumpur hari ini.
Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan merupakan Mantan Pengerusi Lembaga Gabenor USM yang berkhidmat sejak dari tahun 2012 hingga 2018 sebelum jawatannya diambil alih oleh Mantan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur pada 2018.
Sementara itu, mengenangkan sumbangan yang telah diberikan kepada USM oleh bekas diplomat dan pengumpul bahan seni dari seluruh dunia, Tan Sri Razali Ismail yang memegang jawatan sebagai Pro-Canselor USM selama 18 tahun sejak daripada 2001 hingga 2019 dan telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada seluruh warga USM yang mengenali dan pernah mendekatinya.
Majlis turut dihadiri oleh dua lagi Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan, Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dan Pendaftar USM Dr. Musa Hj Ali.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 2082