ICTD DIHARAP JADI RUJUKAN DUNIA PELANCONGAN
PULAU PINANG, 4 Feb.2013 – Penganjuran Persidangan Antarabangsa Pembangunan Pelancongan (ICTD) diharap dijenamakan dan menjadi medan rujukan oleh pemegang taruh dalam industri pelancongan di serata dunia.
Pengerusi Persidangan, Prof. Badaruddin Mohamed berkata, pengajuran ICTD 2013 yang masuk tahun kedua penganjurannya di peringkata antarabangsa bertujuan menjadi platform dalam membina pelancongan masa depan yang lestari dan berdaya saing.
Katanya, persidangan tersebut menghubungkan akademia dengan pihak industri, dengan meletakkan matlamat perpindahan ilmu daripada kampus kepada komuniti melalui pengaplikasian hasil-hasil penyelidikan yang dijalankan.
``Kita amat berharap apa jua penyelidikan dapat dilaksanakan dengan jayanya oleh industri pelancongan, masyarakat dan sebagainya.
Sehingga kini maklumblas dari pemegang taruh juga menunjukkan ICTD telah menjadi sebahagian dari medan perkongsian ilmu untuk pengaplikasian yang mana trend penglibatan peserta semakin meningkat saban tahun,’’ ujarnya.
Tambah beliau, ada juga peserta yang terdiri dalam kalangan pengusaha industri pelancongan yang mengikuti siri penganjuran persidangan ini, melihat serta mempraktikkan amalan baik dan idea-idea baru yang diperkenalkan akademia untuk meningkatkan perusahaan mereka,’’ katanya.
``Kita turut melibatkan agensi-agensi pelancongan, pihak berkuasa tempatan, perusahaan kecil dan sederhana dalam persidangan ini supaya mereka mendapatkan gambaran lebih jelas untuk melestarikan industri pelancongan yang dijalankan,’’ katanya.
Dalam pada itu, dua hari berkenaan bertujuan menjadi platform diskusi berkaitan strategi pelancongan untuk membina masa depan sektor pelancongan yang berdaya saing.
Ia turut berperanan memperkasa pengetahuan para peserta yang terdiri dari pembuat dasar, pemain industri, pemegang taruh dan ilmuan bidang pelancongan untuk menyediakan plan pembangunan terancang dan berimpak tinggi.
Tiga pembentang ucap utama akan berkongsi pandangan dalam persidangan ini termasuk Presiden Malaysia Association of Tour and Travel Agents (MATTA), Dato’ Mohd. Khalid Harun, akademia USM merangkap Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Prof. Dr. Mokhtar Saidin dan akademia Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Amran Hamzah.
Persidangan tersebut disertai oleh 120 peserta, meliputi negara-negara seperti Korea, Australia, Jepun, Taiwan, China, Kuwait, Jordan, Kanada, Hong Kong dan sebagainya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 2199