SANJUNGAN KARYA 2019: 50 BUAH JUDUL BUKU TERBITAN USM DILANCAR
USM PULAU PINANG, 2 Julai 2019 – Sejumlah 50 buah judul buku hasil penulisan ahli-ahli akademik Universiti Sains Malaysia (USM) dirai dan dilancarkan bersempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan USM di majlis Pelancaran Buku Penerbit USM 2019.
Kompilasi judul buku terbitan terkini Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM) itu melangkaui sempadan segenap bidang kepakaran ahli-ahli akademiknya seperti bidang Sains, Sastera, Sejarah, Pendidikan, Komunikasi, Perubatan dan banyak lagi.
Daripada jumlah tersebut, 28 judul adalah dalam bahasa Melayu dan 22 judul dalam bahasa Inggeris manakala 23 judul dalam bidang Sains, Teknologi dan Perubatan (STP) dan 27 judul dalam bidang Kemanusiaan dan Sains Sosial (KSS).
Pada majlis tersebut, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata penerbitan judul ini menunjukkan USM sentiasa menitikberatkan kedua-dua ilmu sains dan sastera dalam segala apa yang dilakukan bagi membangunkan universiti.
“Sebagai salah sebuah Universiti Penyelidikan (RU) yang terulung dan satu-satunya Universiti APEX di negara ini, pelbagai jenis ilmu, perbincangan ilmiah dan penyelidikan dengan dapatan-dapatan baharu seharusnya digunakan oleh komuniti penyelidik dan pelajar untuk menjalankan penyelidikan lanjut, atau dikembangkan menjadi produk yang baharu, atau dikongsi untuk dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, Asma berharap penyelidik bukan sekadar perlu menulis karya teknikal namun harus berupaya menterjemahkan ilmu dan pengetahuan tersebut dalam bentuk penulisan karya yang mudah difahami dan diaplikasi oleh komuniti bidang dan masyarakat umum.
“Senario penerbitan pada hari ini lebih luas skopnya, jadi kita perlu bergerak seiring dengan konsep maklumat tanpa sempadan supaya kita dapat turut serta menyebarkan ilmu dan pengetahuan yang ada pada kita,” katanya ketika berucap di majlis berkenaan untuk meraikan sanjungan karya penulis-penulis buku di Dewan Persidangan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa, di sini.
Pada majlis itu juga, Naib Canselor turut menyampaikan sijil penghargaan kepada penulis-penulis USM yang banyak menyumbang bakti dalam penerbitan buku-buku di USM.
Jelasnya lagi, konsep maklumat atau ilmu tanpa sempadan ini bersifat global dan juga tersedia diolah dalam bentuk digital, yang mana ia lebih signifikan impaknya terhadap penghasilan karya-karya ilmiah.
“Dalam mengikut perkembangan atau trend ini, saya dapati Penerbit USM telah bergerak ke arah itu. Konsep yang tiada sempadan ini menjanjikan penyebaran ilmu dengan pantas dan lebih lestari serta dapat dicapai semudah di hujung jari,” katanya lagi.
Yang turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan Universiti, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pendaftar USM, Dr. Hj. Musa Ali; Ketua Pustakawan USM, Rugayah Ali; Ombudsman USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sidang Pengarang Sastera, Profesor Dato’ Seri Dr. Md Salleh Yaapar; Pengarah Pusat Inovasi dan Perundingan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sidang Pengarang Sains, Profesor Dr. Hanafi Ismail dan Pengarah Penerbit USM selaku Pengerusi Majlis Pelancaran Buku, Akhiar Salleh.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1483