STAF KESELAMATAN SERTAI KURSUS PENGIRING KENAMAAN
PULAU PINANG, 31 Jan. 2013 – Tiga kakitangan Jabatan Keselamatan Universiti Sains Malaysia (USM) menambah kemahiran bidang tugas dengan menyertai Kursus Asas Pengiring Orang Kenamaan (P.O.K) Tahap 1 Siri 6/2012 yang diadakan di Selangor, awal Januari lalu.
Bukan sekadar berkursus, dua daripada mereka turut mengharumkan nama USM kerana terpilih menerima anugerah khas setelah berjaya menamatkan kursus tersebut dengan cemerlang.
Abdul Razak Abdul Ghani yang dulunya juga adalah bekas anggota tentera dipilih menerima anugerah Best Outstanding Performance manakala rakan setugas dari kampus kesihatan, Abdul Halim Yusoff turut menerima anugerah Best Academic.
Abdul Razak turut terpilih mengikuti kursus lanjutan Train of Trainer Pengiring Orang Kenamaan Tahap 1, sekaligus membolehkan beliau menerima License Agreement VIP Protection Courese Train of Trainers oleh pihak penganjur.
Seorang lagi peserta yang menyertai kursus anjuran CPP Training and Services Sdn. Bhd (CPPTS) yang memberi penekanan kepada aspek banting, iaitu kawalan orang kenamaan atau lebih dikenali sebagai bodyguard tersebut ialah Rusli Ab. Razak.
Penyertaan dalam kursus khas itu membolehkan mereka mendapat pengalaman berguna dalam menjalankan tugas menjaga keselamatan orang kenamaan, sama ada secara fizikal atau kawalan keselamatan tempat yang dilawati.
Pembantu Keselamatan dari Unit Pentadbiran, Azahar Bahari berkata, latihan yang diberikan kepada peserta adalah sulit dan sangat mencabar, meliputi aspek persenjataan dan pengetahuan undang-undang.
Katanya, antara yang diberi penekanan adalah kaedah untuk melengahkan masa penyerang untuk menyelamatkan orang kenamaaan sebelum dibawa keluar ke zon selamat, satu perkara kritikal yang perlu diketahui oleh setiap bodyguard.
``Ini pertama kali USM menghantar penyertaan dalam kursus seumpama itu. Ia disifatkan sangat penting kerana tugas pengawal keselamatan kini telah merangkumi perlbagai aspek, bukan sekadar menjaga ketenteraman kampus,’’ ujarnya.
Tambah beliau, peserta juga telah didedahkan dengan aspek formasi dan bentuk kawalan, situasi cemas dan tindakan, merempuh halangan, jenis ancaman, pergerakan naik turun kenderaan (fender), pertolongan cemas, ketahanan fizikal protokol sebagainya.
``Aspek protokol turut menjadi isu penting yang perlu diketahui oleh seseorang bodyguard termasuk cara berpakaian, penggunaan bahasa yang sesuai ketika berurusan dengan kenamaan serta menjaga prinsip pengawal peribadi iaitu amanah dan menjaga rahsia majikan,’’ ujar beliau.
- Created on .
- Hits: 35547