RUMAH RONALD MCDONALD HOSPITAL USM MULAI DIBUKA KEPADA PENEMAN PESAKIT KANAK-KANAK
USM KUBANG KERIAN, 23 Jun 2019 – Rumah Ronald McDonald (RRM) atau Ronald McDonald House yang dibina pada Oktober tahun lalu, hari ini dibuka sepenuhnya di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.
Rumah penginapan itu merupakan hasil kerjasama strategik pelbagai pihak dalam membantu golongan yang memerlukan terutama waris pesakit yang menemani anak mereka yang menjalani rawatan di wad pediatrik.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, USM menyambut baik kerjasama strategik bersama Ronald McDonald House Charity (RMHC) yang terjalin melalui satu memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada penghujung Julai 2018.
“Pembinaan RRM membantu memenuhi keperluan penduduk kategori B40 yang merupakan 80 peratus pesakit yang mendapat rawatan di Hospital USM dan dijadikan sebagai tempat persinggahan untuk meringankan beban ibubapa atau penjaga pesakit terutamanya pesakit kanser kanak-kanak dan kanak-kanak lain yang mengidap pelbagai jenis penyakit yang datang dari kawasan yang jauh dari bandar.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak RMHC kerana memilih Hospital USM dan menyumbangkan dana yang besar bagi membina RRM di sini yang secara tidak langsung turut merubah lanskap Kampus Kesihatan dan menguatkan tunjang Hospital USM sebagai sebuah hospital yang cakna kepada keperluan pesakit dan waris mereka, khususnya di pantai timur Semenanjung,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Pembukaan RRM Hospital USM, di sini hari ini.
Menurut Asma, gandingan kerjasama mantap USM dan RMHC ini turut menzahirkan teras USM sebagai Universiti APEX yang mengutamakan aspek kesejagatan, kesejahteraan dan kemanusiaan, dan juga objektif RMHC sebagai sebuah badan kebajikan yang membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dari aspek pendidikan, kesihatan dan sosial.
“Saya yakin dengan adanya RRM yang mengambil masa pembinaan selama sembilan bulan dengan perbelanjaan sebanyak RM4 juta, ia memastikan ahli keluarga akan sentiasa dapat bersama anak-anak mereka sepanjang tempoh rawatan.
“Bagi pihak USM, saya mengalu-alukan kehadiran keluarga pesakit yang berpeluang untuk menginap di sini dan merasai sendiri kemudahan yang disediakan,” katanya sambil menambah bahawa setiap keluarga hanya dikenakan bayaran sebanyak RM5.00 untuk satu malam sebagai kos penyelenggaraan.
Sementara itu, Presiden RMHC merangkap Pengarah Urusan McDonald Malaysia, Azmir Jaafar pula berkata, RRM ini ditubuhkan kerana terdapat keperluan yang amat tinggi di Hospital USM yang merupakan hospital rujukan utama dan menerima lebih daripada 20,000 pesakit setahun.
“Kemudahan seperti ini penting kerana ia bukan sahaja menyediakan kemudahan dan penginapan untuk meringankan beban keluarga pesakit, malah ia juga sedikit sebanyak memberi sokongan dan kekuatan emosi kepada keluarga yang menemani anak mereka yang sedang sakit,” jelasnya.
RRM Hospital USM dilengkapi dengan 18 buah bilik tidur serta ruang makan, ruang istirehat, dapur, bilik dobi, bilik permainan, dan lain-lain kemudahan untuk penghuni selain turut memiliki Bilik Sensori yang menyediakan peralatan multi deria khas untuk membantu perkembangan kanak-kanak istimewa yang mendapat rawatan di Hospital USM.
Tambah Azmir, pihaknya akan membuka RRM yang ketiga di Hospital Wanita dan Kanak-kanak di Kuala Lumpur pada hujung tahun ini, selepas RRM pertama di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan kedua di Hospital USM.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM merangkap Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim; Bendahari USM, Dr. Rohayati Mohd Isa; Ketua Pustakawan USM, Rugayah Ali serta pegawai-pegawai utama universiti dan pegawai-pegawai McDonald Malaysia.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Hits: 1471