KERJASAMA IPTA MAMPU LONJAK TADBIR URUS WAKAF DI MALAYSIA
USM PULAU PINANG, 20 Jun 2019 – Kerjasama dan gandingan semua Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dalam merencana tadbir urus wakaf mampu melonjakkan tahap kesedaran dan kepentingan wakaf kepada masyarakat luar di Malaysia.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, Malaysia sememangnya berpotensi tinggi dalam mengembangkan tadbir urus wakaf dan jika ia dilaksanakan dengan baik, banyak permasalahan kemiskinan di negara ini dapat diselesaikan.
“Kita sedia maklum di negara-negara Islam maju lain seperti Mesir dan Turki, setiap Institut Pendidikan Tinggi (IPT) di sana telah menjalankan aktiviti wakaf dengan cukup meluas malah ia sudah menjadi kebiasaan negara-negara ini menguruskannya demi kepentingan pembangunan ekonomi ummah,” katanya.
Tambahnya lagi, atas dasar itu sewajarnya wakaf turut menjadi kebiasaan dan dikembangkan pengetahuannya di Malaysia dan segala urusan wakaf di negara ini mampu diuruskan dengan baik kerana kita mempunya ilmuan dan tenaga pakar di setiap IPT bagi membangunkan sektor terbabit.
Naib Canselor hadir merasmikan Wacana Tadbir Urus Wakaf Pendidikan Tinggi di Dewan Persidangan Universiti (DPU) anjuran Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), USM dan Pejabat Zakat, Wakaf dan Infaq (ZAWAIN), USM.
Turut hadir adalah Pengarah, Bahagian Penguatkuasaan dan Inspektorat Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Norhazimah Che Hassan; Pengarah ISDEV USM, Dr. Shahir Akram Hassan; Pengarah ZAWAIN USM, Puan Hajah Rohayati Daud dan Pengurus, Wakaf Pulau Pinang Sdn. Bhd., Tuan Haji Abu Bakar Yang.
Jelas Asma lagi, bagi IPTA seperti USM contohnya, jika wakaf dapat dijalankan dengan sempurna beliau yakin ia mampu dikongsi oleh semua lapisan masyarakat tidak mengira agama dan bangsa.
“Atas sebab itulah besar harapan saya jika ISDEV bukan sahaja dapat melahirkan graduan-graduan yang hebat dalam ilmu wakaf dan aset Islam ini, tetapi mampu menyediakan platform untuk graduan kembali ke USM bagi membantu berkongsi kepakaran mereka melalui kemahiran dan praktikal agar wakaf dapat bergerak dengan pemikiran yang progresif,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, beliau turut berharap sinergi antara Jabatan Haji, Zakat dan Wakaf (JAWHAR), Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), dan Pejabat Wakaf Universiti Awam dapat memacu kegemilangan wakaf di universiti awam.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1693