USM, NPU JALIN KERJASAMA DALAM PENYELIDIKAN FARMASEUTIKAL
PULAU PINANG, 18 Jun 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus menjadi pilihan universiti antarabangsa menjalin kerjasama strategik dalam penyelidikan dan pembangunan farmaseutikal apabila termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Nihon Pharmaceutical University (NPU), Jepun.
Kerjasama ini turut memperlihatkan persetujuan pertukaran pelajar ijazah tinggi dan kepakaran staf melalui program-program latihan yang tersusun melibatkan pembangunan bidang farmasi di antara kedua-dua universiti.
Pada majlis penandatanganan MoU tersebut yang berlangsung kelmarin, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berharap kerjasama ini bakal membuahkan hasil seperti disasarkan memandangkan kedua-dua universiti sealiran bagi membangunkan bidang farmasi melalui penyelidikan dan pendidikan.
“Pihak USM sentiasa mengalukan kepakaran yang dimiliki oleh universiti antarabangsa seperti NPU Jepun untuk berganding bahu berkongsi kepakaran yang dimiliki USM seterusnya melonjakkan bidang farmasi kedua-dua institusi ke persada dunia,” katanya lagi.
Pada majlis yang sama, Naib Presiden NPU, Profesor Dr. Minoru Tsuzuki berkata termeterainya kerjasama ini akan membawa kepada hubungan yang lebih erat antara kedua-dua buah universiti dan semestinya lebih banyak penganjuran bersama bengkel, program latihan strategik untuk pelajar mahupun staf dan pertukaran bahan penerbitan termasuk gabungan program pendidikan yang bersesuaian.
Yang turut hadir adalah Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab dan Profesor Dr. Ichiro Arai dari Bahagian Sains Farmaseutikal Kampo serta pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1230