USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGHASILAN KARYA TERJEMAHAN BAHASA CHINA-BAHASA MELAYU PERLU DIPERGIATKAN

kopaan1

USM, PULAU PINANG, Jun 2019 – Penghasilan karya terjemahan Bahasa China-Bahasa Melayu perlu dipergiatkan demi memperkayakan khazanah ilmu dalam kedua-dua bahasa berkenaan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah berkata, ilmu yang diperoleh itu akan meningkatkan kefahaman dan penghayatan pembaca dunia Melayu terhadap sejarah, falsafah, pemikiran dan budaya China, dan sebaliknya.

kopaan4

“Ia juga menjadi wahana penting untuk mengeratkan tali persahabatan dan kerjasama antara Malaysia dan negara China terutamanya dalam bidang pendidikan dan sosio-ekonomi,” kata Aldrin ketika berucap mewakili Naib Canselor USM dalam majlis perasmian Kolokium dan Pameran Antarabangsa (KOPAAN) 2019: Jalinan Tamadun Melayu-China Melalui Terjemahan, di sini baru-baru ini.

Katanya lagi, penganjuran kolokium dan pameran itu amat bersesuaian dengan hasrat kerajaan negara ini, khususnya dalam usaha pengembangan bidang penterjemahan yang semakin diperlukan sekali gus meningkatkan penerbitan buku dan penyebaran ilmu.

“Kolokium ini juga dilihat mampu menghubungeratkan jalinan tamadun Melayu dan China dengan menggunakan terjemahan sebagai platformnya; lebih-lebih lagi, 2019 ialah ulang tahun ke-45 jalinan hubungan diplomatik Malaysia-China,” tambahnya.

Beliau turut berkata pihak Universiti berbangga dengan usaha Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) yang sentiasa komited dan bergerak ke hadapan dalam usaha melahirkan lebih ramai penterjemah dan jurubahasa yang mampu mengisi keperluan tenaga profesional dalam bidang terjemahan dan interpretasi hingga ke peringkat global.

Pada majlis yang sama, dua judul buku dalam koleksi khas karya terjemahan Bahasa China-Bahasa Melayu, iaitu “Koleksi Konsep Falsafah, Pemikiran dan Budaya China Jilid 1” dan “Puisi-puisi Pilhan Dinasti Song” dilancarkan.

kopaan2

Koleksi ini dipamerkan di Perpustakaan Hamzah Sendut USM dengan menghimpunkan karya-karya terjemahan Bahasa China-Bahasa Melayu dan Bahasa Melayu-Bahasa China untuk dijadikan rujukan dan bahan kajian oleh pelajar dan penyelidik dari dalam dan luar negara.

Koleksi ini dipercayai merupakan antara koleksi sedemikian rupa yang pertama di dunia, dan melalui koleksi khas ini, dijangkakan USM akan menjadi hab penyelidikan terjemahan khususnya Bahasa China-Bahasa Melayu.

KOPAAN 2019 yang julung kali diadakan, adalah anjuran bersama Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi (UniTI), PPIK USM; Perpustakaan Hamzah Sendut, USM dan Guangdong University of Foreign Studies, China dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka; Institut Terjemahan dan Buku Malaysia; Pusat Kebudayaan Han Malaysia; Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia; Guangxi Normal University Press; dan World Publishing Guangdong Corporation.

kopaan3

Yang turut hadir, pemangku Konsulat-Jeneral Republik Rakyat China di Pulau Pinang, Zhang Li; ahli Lembaga Gabenor Universiti, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Dekan PPIK, Prof. Dr. Narimah Samat; Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia merangkap Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia, Dato’ Goh Hin San; Timbalan Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran KOPAAN 2019, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong; Timbalan Dekan Fakulti Bahasa dan Budaya Asia, Guangdong University of Foreign Studies, merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran KOPAAN 2019, Profesor Madya Dr. Tan Xiao; Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Wahab Hamzah; dan Ketua Pustakawan USM, Rugayah Ali.

Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 2061

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024