USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERSATUAN PELAJAR USM MENANG 9 ANUGERAH DI GRADUAN PAPER PLANE AWARD 2.0

plane2 edited

PULAU PINANG, 21 Mei 2019 – Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua (SKKT) Universiti Sains Malaysia (USM) dan Ahli Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan Chinese Cultural Night (USMKK CCN) menaikkan nama USM apabila berjaya memenangi sembilan anugerah di Majlis Anugerah GRADUAN Paper Plane Award Musim ke-2 yang berlangsung di Wisma HuaZong, Seri Kembangan, Selangor pada Sabtu lalu.

Yang lebih membanggakan ialah SKKT USM sekali lagi berjaya merangkul Anugerah Persatuan Terbaik Tahunan untuk tahun kedua berturut-turut, dan berjaya memasuki peringkat akhir bagi 12 kategori yang dipertandingkan.

Yang Dipertua SKKT sidang akademik 2019/2020, Hooi Jing Peng, pelajar komunikasi tahun 2, berkata, pihaknya bersyukur dan berbangga dengan pencapaian SKKT itu, lebih-lebih lagi apabila mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kekangan masa dalam memberi keseimbangan di antara akademik dan aktiviti berpersatuan.

“Namun atas semangat kerja berpasukan dan kemuafakatan dalam kalangan ahli-ahli SKKT serta dorongan dan sokongan yang berterusan dari pihak atasan universiti terutamanya Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, kami telah melakukan yang terbaik dalam semua program dan aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2018.

plane1 edited

“Saya bagi pihak ahli SKKT yang sedia ada juga merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada senior kami atau alumni SKKT yang telah banyak membantu dan membimbing kami dalam aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan,” tambah Jing Peng.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kebudayaan, Unit Kebudayaan dan Kesukarelawanan BHEPA yang juga Penasihat SKKT, Zulkifli Che Hussin berkata, SKKT diselaraskan oleh pelajar-pelajar yang mempunyai jiwa dan komitmen yang tinggi. Mereka belajar cara kepimpinan dan pada masa yang sama sentiasa menjaga dan memelihara budaya dan adat resam masyarakat Tionghua supaya tidak ditelan zaman dan dipelihara oleh generasi masa kini.

“Sebagai penasihat, sudah tentu saya berbangga dengan semua ahli SKKT walaupun saya berlainan bangsa dan agama; namun sebagai pegawai kebudayaan sudah tentu ianya adalah sesuatu yang disanjung tinggi dan perlu diperjuangkan,” katanya.

Majlis Anugerah tersebut yang dianjurkan oleh Persatuan Graduan Muda Malaysia (GRADUAN) adalah untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada persatuan-persatuan pelajar dari IPTA dan IPTS di seluruh Malaysia dalam penganjuran projek di institusi masing-masing.

plane3 edited

Terdapat 12 kategori dipertandingkan dalam Anugerah GRADUAN Paper Plane 2.0; pihak penganjur menerima penyertaan sebanyak 369 projek, dan dari jumlah itu, 77 projek telah disenarai pendek.

Fokus utama malam anugerah ini adalah Anugerah Persatuan Terbaik Tahunan dan Anugerah Projek Terbaik Tahunan.

Berikut ialah senarai 9 anugerah yang dimenangi oleh USM:

Anugerah Pemenang
Anugerah   Organisasi
Anugerah   Persatuan Terbaik Tahunan · SKKT USM
Anugerah   Kecemerlangan Kualiti

· SKKT USM

Anugerah   Penjenamaan Terbaik

· SKKT USM

Anugerah   Projek
Anugerah   Projek Terbaik Tahunan

· Universities Enrolment Sharing Session   (UESS) 2018

· The USM 12th Chinese New Year Charity   Gala Celebration 2018 ‘We Wish, We Hope’

· Charity Chinese Night 2018 USM KK

Anugerah   Projek Berimpak Tinggi · USM Mid-Autumn Festival 2018   'Gratitude: Harvest From The Moon'
Anugerah   Projek Berinovatif · USM SKKT Charity Project - A Healing   Touch 2018
Anugerah   Projek Lestari · Universities Enrolment Sharing Session   (UESS) 2018

Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1804

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024