USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IKMAR TIDAK SEKADAR BERBAKTI UNTUK JOHOR

usmtukar

ROMPIN, 29 Jan. 2013 – Ikatan Mahasiswa/i Johor Universiti Sains Malaysia (IKMAR), persatuan anak negeri yang dikhaskan untuk pelajar yang berasal dari negeri Johor membuktikan kehadiran mereka bukan sekadar untuk berbakti kepada penduduk di Johor.

Sebaliknya, atas dasar menyokong Gagasan 1 Malaysia, IKMAR telah membuktikan kewujudannya adalah untuk manfaat semua melalui program khidmat masyarakat yang telah dijalankan di Kampung Tanjung, Pahang, baru-baru ini.

Aktiviti kemasyarakatan yang dikenali sebagai “Jalinan Mesra IKMAR 2013' itu melibatkan lebih 80 peserta meliputi kakitangan universiti, urusetia dan para pelajar USM yang diketuai Pengarah Projek, Muhamad Afi Adli Hasnul.

Penasihat Utama IKMAR, Profesor Madya Dr. Mohamad Nasir bin Mohamad Ibrahim berkata, beliau sama sekali menolak tanggapan bahawa mahasiswa Johor hanya perlu berbakti di negeri sendiri.

Katanya, IKMAR sememangnya sedia berbakti kepada mana-mana pihak yang memerlukan, atas dasar semangat dan keinginan untuk warga kampus merealisasikan konsep pemindahan ilmu kepada setiap lapisan masyarakat di negara ini.

``Walaupun berkhidmat di negeri orang, namun semangat dan jati diri Johor tetap di hati. Program seumpama ini turut bertujuan melatih mahasiswa menjadi agen transformasi dalam pembangunan masyarakat dan ia dilakukan melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan,’’ ujar beliau.

Tambahnya, antara pengisian program empat hari itu adalah aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan awam seperti di masjid, taman permainan, tanah perkuburan dan kawasan pantai.

``Selain itu, sukaneka dan aktiviti keagamaan turut dijalankan pada waktu malam bagi memberi ruang untuk warga kampus menjalinkan hubungan mesra bersama penduduk kampung,’’ ujar beliau.

Sebahagian pelajar USM membersihkan kawasan kampung

Dalam pada itu, para peserta turut menghadiri kursus ko-kaunselor yang dikendalikan oleh Kaunselor USM, Azmi Hassan melalui program khas yang dipanggil “Sehari di Sekolah” dengan melibatkan dua buah sekolah iaitu di SMK Tanjung Gemok di Pahang dan SMK Ungku Husin di Johor.

Projek tersebut turut memperlihatkan usaha IKMAR menubuhkan pusat komputer yang dijenamakan sebagai “One Internet Center”.

Kedua-dua buah sekolah disalurkan 5 unit komputer setiap satu melalui sumbangan 10 unit komputer daripada Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT) USM.

Program tersebut turut mendapat penajaan daripada Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional (MAPAN), Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM), Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPP), Biro Tatanegara Negeri Pahang, 1Malaysia For Youth (1M4U) dan sebagainya.

  • Created on .
  • Hits: 2990

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024