USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SERAH KEMBALI MERIAM BERSEJARAH KEPADA KERAJAAN NEGERI

IMG 0035 edited

USM, PULAU PINANG, 10 Mei 2019 – Dua meriam berkembar yang ditemukan oleh ahli arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM) tahun lalu kini telah siap dikonservasikan dan sedia untuk dipulangkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya.

Meriam yang dianggarkan berusia kira-kira 200 tahun, masing-masing berukuran 2.35 meter dan 2.2 meter itu turut dipercayai digunakan pada era King George III, ditemui di tapak arkeologi seluas lebih 0.4 hektar di Fort Cornwallis.

IMG 0093 edited

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri bercadang untuk membuka Fort Cornwallis dengan tarikan baru kepada pengunjung namun perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama beberapa pihak lain termasuk USM.

“Kita akan berikan satu pengalaman baru kepada pengunjung untuk melihat sendiri meriam-meriam yang ditemukan namun ia masih belum diputuskan bila dan di mana,” katanya.

Kon Yeow berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Laporan Akhir Konservasi Meriam dan simbolik penyerahan dua meriam yang telah siap dibaik pulih oleh ahli-ahli arkeologi dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) USM kepada kerajaan negeri di sini baru-baru ini.

meriam1

Laporan berkenaan telah diserahkan kepada Ketua  Menteri oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail. Hadir sama ialah Exco Pembangunan Pelancongan, Budaya, Seni dan Warisan Negeri, Yeoh Soon Hin; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, pegawai-pegawai utama Universiti, dan sebagainya.

IMG 0234 edited

Dalam pada itu, Pengarah PPAG USM, Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin pula berkata, pihaknya masih lagi menjalankan kajian di tapak ekskavasi di Fort Cornwallis dan sehingga kini telah menemukan pelbagai lagi bahan bukti bersejarah termasuk berek, mortar dan juga peluru.

meriam2

“Penemuan-penemuan ini akan dapat melengkapkan kajian mengenai Fort Cornwallis khususnya dalam aspek penceritaan sejarahnya dan aktiviti di situ dari dahulu sehingga ke hari ini,” ujarnya sambil menyifatkan penemuan hari ini memberi nilai tambah yang cukup tinggi buat sektor arkeopelancongan Pulau Mutiara.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1472

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024