USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

FATIN, KAI XIN DIIKTIRAF ATLET TERBAIK, RAIH ANUGERAH UNGU USM

EAM 8803 edited

PULAU PINANG, 8 Mei 2019 – Atlet negara, Fatin Nurfatihah Mat Salleh (memanah) dan Tham Kai Xin (livesaving/renang) mengungguli Majlis Anugerah Sukan (MAS) ke-41 Universiti Sains Malaysia (USM) apabila meraih Anugerah Ungu, satu pengiktirafan tertinggi bagi kecemerlangan sukan warga USM.

Anugerah ungu dinobatkan kepada mana-mana atlet USM yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam sukan yang diceburi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Fatin yang turut pernah merangkul gelaran olahragawati USM selama tiga tahun berturut-turut telah menyumbang banyak pingat emas dalam pelbagai kejohanan baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Antara prestasi beliau yang mengagumkan termasuk berjaya menyumbang dua pingat emas dalam Asean University Games Myanmar 2018, dua emas (Terbuka Kedah 2018), lima emas dan satu gangsa (Terbuka UUM 2018), satu emas dan satu gangsa (Asia Cup, World Ranking Thailand 2018) dan pelbagai lagi siri kejohanan. 

EAM 8824 edited

EAM 8843 edited

Bagi Kai Xin pula, beliau turut menyerlahkan kewibawaannya di kolam renang dengan meraih banyak pingat emas termasuk tiga emas di Kejohanan KL Master, lapan emas (Labuan International School Swimming Competition), lapan emas (PASA 2019), satu gangsa (5th International Invitation Live Saving Sports Challenge) dan pelbagai lagi.

Selain mereka, dua atlet karate negara turut dinobat gelaran olahragawan dan olahragawati MAS ke-41, masing-masing ialah Ivan Oh Theng Wei dan Khaw Yee Voon yang telah berjaya menunjukkan kehebatan dalam pelbagai siri kejohanan.

EAM 8766 edited

MAS juga buat julung kalinya memperkenalkan Anugerah Tokoh Sukan USM yang mana penerima sulung bagi anugerah berkenaan diberikan kepada Tan Sri Datuk Mustafa Mansur yang juga Pro-Canselor USM atas kredibiliti dan sumbangannya terhadap pembangunan bidang sukan baik di peringkat Universiti mahupun luar.

EAM 8827 edited

Hadir ke majlis kemuncak dalam menghargai keringat para atlet berkenaan ialah Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail; Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Aldrin Abdullah; TNC Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Profesor Madya Dr. Ahmad Munir Che Muhamed; dan barisan pegawai utama Universiti.

Asma dalam ucapannya berkata, “Nama USM gah di persada antarabangsa apabila beberapa nama atlet mencipta nama di peringkat dunia dan terus menjulang sukan USM dan negara.” 

“Komitmen yang ditunjukkan oleh semua atlet telah membuktikan betapa tingginya semangat kesukanan, ukhwah dan kerjasama antara warga USM dalam bidang sukan yang membawa kepada output kecemerlangan dalam program penyertaan sukan,” katanya. 

EAM 8840 edited

EAM 8843 edited

Beliau juga menegaskan, USM sentiasa melihat bidang sukan dalam dimensi yang lebih meluas dan menyeluruh dalam menjaga keharmonian dan kesihatan warga USM ke arah yang lebih positif, selaras dengan 17 Sustainable Development Goals (SDGs) yang telah disenaraikan oleh pihak Bangsa-Bangsa Bersatu.

Teks: Marziana Mohamed Alias 

  • Created on .
  • Hits: 1298

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024