USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN INDUSTRI BERKOLABORASI MAJUKAN KOMUNITI WARGA EMAS BERDIGITAL

k01

KUALA LUMPUR, 2 Mei 2019 – Selaras dengan agenda USM memajukan komuniti melalui kerjasama universiti dan industri, Pusat Teknologi Pengajaran & Multimedia (PTPM), USM dengan kerjasama Amanz Media Sdn. Bhd. akan menganjurkan 11 siri bengkel bagi memperkasakan ilmu dan kemahiran teknologi ICT kepada komuniti warga emas di Malaysia.

Siri-siri bengkel tersebut bakal dianjurkan di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Selangor, Kelantan, Melaka dan Johor mulai tahun 2019 sehingga tahun 2021.

Menurut Pengarah PTPM, Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, pusat ini telah mula menganjurkan bengkel-bengkel ilmu dan kemahiran ICT dan teknologi yang direka khas untuk warga emas sejak tahun 2010 melalui program ‘Building Bridges Across Generation” dan maklum balas dan impak yang diterima adalah positif.

“PTPM berhasrat untuk menambah baik modul pengajaran berdasarkan pengalaman terdahulu yang ditambahbaik dengan perkembangan teknologi mudah alih pintar pada masa kini bagi memastikan PTPM dapat meneruskan usaha untuk menjuarai hak-hak warga emas yang berminat sebagai inisiatif pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning),” katanya.

Jelasnya lagi, PTPM telah berjaya mendapat sokongan dana bagi pelaksanaan projek ini melalui inisiatif AmanzNXT yang ditawarkan oleh Amanz Media Sdn. Bhd. setelah melalui proses ‘pitching’ dan pemilihan yang agak ketat.

k2

Amanz Media merupakan sebuah syarikat yang memberi fokus kepada penghasilan kandungan media Bahasa Melayu khususnya dalam dunia ICT.

“Inisiatif AmanzNXT diwujudkan untuk memacu idea yang bercorak komuniti. Kami di Amanz menyokong idea-idea menarik yang ingin memacu inovasi, dan membentuk komuniti berinformasi,” kata Ikhwan Nazri yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Amanz Media.

Ketua Projek, Dr. Tan Yun Yi yang juga pensyarah di PTPM menjelaskan bahawa objektif program ini adalah untuk membantu pembelajaran serta menunjang perkembangan ilmu ICT dan teknologi di kalangan warga emas terutamanya golongan pesara B40.

Tambahnya, setiap siri bengkel yang akan dijalankan selama dua hari ini memberi fokus kepada tiga kategori modul pengajaran iaitu penulisan kreatif, multimedia dan senireka, serta kecelikan computer.

Siri pertama bengkel akan dianjurkan di Cyberjaya, Selangor pada bulan Jun ini dan golongan peserta akan dipilih daripada kalangan komuniti warga emas tempatan. Kesemua aktiviti bakal dijalankan dengan penggunaan komputer serta peranti mudah alih pintar dan Bahasa Melayu sebagai medium pengajaran.

“Dengan kerjasama industri, kami berharap dapat mengorak langkah pertama dalam usaha merapatkan jurang teknologi dan menambah kesejahteraan warga emas berinformasi meniti usia senja secara kreatif,” jelasnya mengakhiri sesi.

Teks: Pusat Teknologi Pengajaran & Multimedia (PTPM)
Foto: Amanz Media

 

  • Created on .
  • Hits: 1799

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024