USM-NTHU TUBUH W.I.S.E. KUKUHKAN KERJASAMA KESELAMATAN AIR DAN KELESTARIAN TENAGA
USM, PULAU PINANG, 28 April 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama National Tsing Hua University (NTHU), Taiwan telah mendapat pembiayaan daripada Kementerian Sains dan Teknologi Taiwan untuk menubuhkan Malaysia-Taiwan Innovation Centre for Clean Water and Sustainable Energy (WISE).
“Kerjasama antara USM dan NTHU ini diharapkan dapat memangkin inovasi yang berimpak tinggi dalam pelbagai bidang keutamaan yang berkaitan dengan keselamatan air dan kelestarian tenaga, yang membolehkan penjanaan sinergi bersistematik dari nexus (perhubungan) tenaga-air,” kata Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah yang mewakili Naib Canselor USM.
“Kerjasama ini dilaksanakan dengan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara USM-NTHU baru-baru ini dan ianya adalah langkah pertama untuk pembentukan sebuah konsortium antarabangsa antara Malaysia dan Taiwan, yang membolehkan pengetahuan dan perkongsian teknologi yang lebih baik antara Malaysia dengan negara lain di Asia,” tambahnya lagi.
“Projek sebegini adalah selaras dengan pelan strategik serta misi dan visi USM untuk menyokong kelestarian dalam bidang teras untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan memaksimumkan penyelidikan.
"Kerjasama yang dijalinkan ini adalah tepat pada masanya kerana USM berada di tangga ke-49 di seluruh dunia dalam Times Higher Education (THE) University Global Impact Rankings yang dikeluarkan buat julung kalinya baru-baru ini,” tambahnya.
"Kami berharap kerjasama ini akan membuka peluang kepada pertukaran kepakaran mengenai air bersih dan tenaga lestari antara institusi Taiwan dan Malaysia untuk kepentingan bersama kedua-dua negara,” kata Timbalan Presiden Kanan (Akademik) NTHU, Profesor Dr. Sinn-wen Chen.
WISE di USM diselaraskan oleh penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Kimia (PPSK), Dr. Lee Hooi Ling USM dan bakal bekerjasama dengan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Beberapa aktiviti telah dirancang pada masa akan datang yang turut melibatkan bengkel dan seminar topik khusus mengenai WISE.
Turut hadir ialah Dekan PPSK USM, Profesor Dr. Rohana Adnan; Dekan NTHU, Profesor Dr. Ruey-an Doong serta timbalan-timbalan Dekan dan penyelidik PPSK.
Teks: Nor Rafizah Md Zain
- Created on .
- Hits: 2144