IPPT DESTINASI KETIGA LARIAN OBOR SAMBUTAN 50 TAHUN USM
BERTAM, 26 April 2019 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) hari ini menjadi destinasi ketiga persinggahan Larian Obor sempena Sambutan 50 Tahun USM yang bermula dari USM Kampus Kesihatan pada 23 April dan kemudiannya singgah di Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal, Pulau Pinang kelmarin.
Larian Obor di IPPT bermula dari Kompleks Klinikal, Bertam menuju ke Kompleks sains@bertam yang terletak di Kepala Batas. Larian sejauh enam kilometer ini melalui sekitar kawasan Bertam dan Kepala Batas, Pulau Pinang.
Pelepasan larian disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Klinikal, Kelestarian dan Piawaian, Dr. Noor Khairiah A. Karim, dan seramai 100 orang staf telah mengambil bahagian dalam acara larian obor ini yang turut diiringi oleh pasukan bermotor USM Bikers.
Pada majlis itu, Obor 50 tahun USM diserahkan kepada Pengarah IPPT, Profesor Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman yang turut sama berlari di penghujung larian sebagai gimik Larian Obor USM 50 tahun di sains@bertam.
Majlis diakhiri dengan penyerahan Obor 50 tahun USM olehSyed Azhar kepada Mohamad Abdullah, Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni yang mewakili Pendaftar USM.
Obor seterusnya dibawa ke Padang Kota oleh USM Bikers dan larian peringkat keempat bermula dari Padang Kota melalui sekitar Bandar Georgetown sebelum berakhir di Kampus Induk USM pada sebelah malamnya bersempena dengan majlis perasmian Temasya Olahraga Tahunan (TOT) ke-45 USM.
Teks: Mohd Faisal Jamaludin/Foto: Norizan Ishak
- Created on .
- Hits: 952