USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LARIAN OBOR - 450 PESERTA, LIMA KM, DUA BUAH NEGERI TANDA SOKONGAN 50 TAHUN USM

Kejuruteraan 2 edited

NIBONG TEBAL, 25 April 2019 – Seramai 450 orang warga kampus turut serta dalam Larian Obor peringkat Kampus Kejuruteraan yang diadakan merentasi dua buah negeri sebagai menzahirkan sokongan di atas sambutan 50 tahun Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun ini.

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Profesor Madya Ir. Dr. Syed Fuad Saiyid Hashim, mewakili Pengarah Kampus, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria mengetuai larian dengan membawa obor yang tiba dari Kampus Kesihatan itu.

“Larian sejauh lima kilometer merentasi dua buah negeri iaitu Nibong Tebal Pulau Pinang dan Kerian Perak ini telah menonjolkan satu daripada sisi unik serta kelebihan universiti ini dalam menyeimbangkan antara kecerdasan mental serta fizikal warganya.

“Perkara ini adalah supaya generasi yang terbina melaluinya adalah generasi yang bukan berpaksikan kepada akademik semata-mata malah mempunyai kemampuan serta semangat bersukan serta bersaing secara sihat juga,” kata Syed Fuad.

Syed Fuad menerima obor tersebut daripada Idrus Rapie, Pegawai Belia dan Sukan dari Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni yang sebelum ini diserahkan oleh Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim di Kelantan.

Kejututeraan edited

Selain daripada semangat kesukanan, beliau turut menyeru semua pihak seharusnya berbangga dengan hakikat bahawa ahli akademik dan pengurusan kita memainkan peranan yang penting di dalam setiap pencapaian sejak hampir setengah abad yang lalu.

“Mereka ini telah membuktikan bahawa kita di USM sentiasa mempunyai semangat kompetensi dan berpandangan jauh ke arah kemajuan bidang pendidikan negara sehingga menjadi salah satu daripada institusi pengajian tinggi awam terbaik negara pada hari ini,” tambahnya.

Larian Obor yang dianjurkan oleh Pusat Sukan dan Rekreasi USM ini telah bermula di Kampus Kesihatan pada 23 April dan seterusnya akan bergerak ke Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) sebelum diserahkan kepada Kampus Induk USM Pulau Pinang pada 26 April esok.

Teks: Siti Faizah Abdul Halim

  • Created on .
  • Hits: 1144

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024