USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AMANAT TAHUN BAHARU 2013: PSPTN DIKAJI SEMULA, PUSAT TRANSFORMASI KOMUNITI UNIVERSITI DIWUJUDKAN

usmtaklimat


PUTRAJAYA, 29 Januari 2013 - Dalam Amanat Tahun Baharu 2013 Menteri Pengajian Tinggi yang mempunyai lapan agenda dan 44 Pernyataan Dasar, Inisiatif dan Perubahan Struktural, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang dilancarkan pada tahun 2007, akan dikaji semula.

“Ini bertujuan menambahbaik dan menyusun mengikut keperluan semasa dan akan datang melalui inisiatif baharu yang berimpak tinggi, keberhasilan yang lebih jelas, berupaya dilaksanakan secara bijaksana sehingga mampu melonjakkan lagi pengajian tinggi negara ke tahap kegemilangan,” kata Mohamed Khaled.

Kajian PSPTN ini bermula pada bulan ini dan dijangka selesai bulan September akan datang dan hasil kajian boleh dilaksanakan mulai tahun 2014. Insya Allah.

Melalui amanat yang bertemakan Pengajian Tinggi Pemacu Daya Saing Malaysia, Menteri Pengajian itu juga turut meminta agar semua universiti  untuk mewujudkan Pusat Transformasi Komuniti Universiti atau University Community Transformation Centre (UCTCs) yang berasaskan nic masing-masing dengan menggerakkan sumber intelektual dan infrastruktur fizikal universiti untuk mentransformasikan komuniti.

Katanya, pendekatan yang menggunakan strategi Lautan Biru ini akan mengoptimumkan kewujudan IPTA dan prasarananya dalam pembangunan komuniti yang inovatif.

”Ini dapat dilakukan dengan menghubungkan tenaga akademik dan mahasiswa dengan komuniti dalam konteks mewujudkan kursus-kursus praktikal yang boleh menangani persoalan komuniti setempat, mempromosi keusahawanan, menghubungkan UCTC dengan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC), membenarkan penggunaan prasarana universiti oleh komuniti dan pembelajaran sepanjang hayat yang akan menjadikan program jalinan atau libat sama komuniti semakin tersusun, kukuh dan memberi impak yang lebih besar,” kata Mohamed Khaled.

Jelasnya, Kementerian Pengajian Tinggi mahu menilai setiap program jalinan atau libat sama komuniti berupaya memberi impak dan mempunyai nilai keberhasilan yang tinggi dalam mentransformasikan komuniti. Oleh itu, penilaian perlu dibuat ke atas setiap program jalinan atau libatsama komuniti tersebut.

Menteri Pengajian Tinggi juga memaklumkan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi juga mengambil inisiatif membangunkan Guide to Assessing APEX Special Project-Community Engagement untuk menilai program jalinan dan libatsama komuniti dalam empat aspek iaitu perancangan, proses, keberhasilan dan impak.

”Kementerian akan menggunakan instrumen yang mula dilaksanakan di Universiti Sains Malaysia (USM) ini pada semua IPT yang lain bagi mengukur program libatsama komuniti mereka,” kata Mohamed Khaled.

Beliau turut menyentuh tentang usaha menjadikan asrama dan kolej pelajar sebagai tempat utama untuk membentuk generasi muda yang dapat membina sahsiah diri sebagai tempat pembelajaran selepas bilik kuliah.

Katanya, kehadiran mahasiswa di kampus bersifat sementara, lazimnya antara dua hingga empat tahun, oleh itu, kesempatan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya terutama dalam konteks pembelajaran dan pengajaran tidak formal.

“Memandangkan pelajar menghabiskan lebih banyak masa di kolej siswa (kediaman), IPT perlu memikirkan bagaimana kolej boleh berfungsi sebagai tempat pembelajaran selain di dewan kuliah dan makmal, oleh itu, universiti perlu mengambil peluang ini untuk membina sekitaran 'kolej sebagai tempat pembelajaran kedua' dan paradigma begini membolehkan pembangunan dan pengurusan kolej dirancang sebagai 'tempat berehat dan belajar,” jelas Menteri Pengajian Tinggi itu.

Melalui perspektif baharu ini, Menteri Pengajian Tinggi meminta agar kolej dan sekitarannya dibangunkan untuk memenuhi beberapa keperluan lain, keperluan riadah dan bersukan, serta keperluan untuk berinteraksi dan membina kemahiran insaniah dan universiti perlu menyediakan kemudahan infrastruktur dan sumber manusia yang membolehkan fungsi ini dilakukan dengan berkesan.

Beliau turut menekan kepada persaingan pada abad ke-21 yang bukan hanya terletak kepada kejayaan akademik tetapi menuntut kejayaan dalam aspek yang lebih besar terutama keupayaan berfikir secara inovatif dan kreatif di kalangan pelajar kita yang memerlukan mahasiswa di IPT dibangunkan dengan kemahiran berfikir secara inovatif dan kreatif melalui program-program pembangunan potensi dan bakat diri dan ini termasuk Kursus Ko-Kurikulum Berkredit.

“Walau bagaimanpun, kita mendapati kursus-kursus Ko-Kurikulum yang ditawarkan di IPT adalah terpisah dan tidak ada hubung kait dengan pembelajaran yang  menyebabkan pelajar-pelajar tidak dapat mengaplikasikan hasil pembelajaran di luar bilik kuliah,  justeru itu, ko-kurikulum perlu menghubungkan pelajar dengan proses pembelajaran secara langsung dan oleh itu, sudah tiba masanya ia diletakkan di bawah Pusat Pengajian masing-masing,” kata Mohamed Khaled lagi.

Menteri Pengajian Tinggi itu juga meminta agar semua universiti melihat kepada usaha mewujudkan komuniti ASEAN yang mengambil kira bilangan besar yang ada, misalnya pada  Disember 2012, terdapat seramai 14,156 orang pelajar dari negara ASEAN menyambung pengajian di Malaysia manakala 9,008 orang pelajar Malaysia di negara ASEAN.

Sebagai negara pembekal pengajian tinggi yang berkualiti di rantau ini, Malaysia berupaya memberi sumbangan dalam pelbagai dimensi untuk mencapai matlamat Komuniti ASEAN 2015.

“Sebagai contohnya Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah membangunkan pendekatan kelestarian untuk pendidikan dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) di UKM yang menerajui penyelidikan sains kelestarian boleh menjadi pemangkin kepada sumbangan negara ke arah pembentukan Komuniti ASEAN yang dicita-citakan,” tegas Mohamed Khaled.

Tambahnya lagi, peranan Malaysia dalam agenda Komuniti ASEAN ini akan diperkukuhkan lagi melalui pelaksanaan agenda Jangkauan Global Malaysia (JGM). Setelah memulakan inisiatif jangkauan ini di negara CLMV iaitu Cambodia, Laos, Myanmar dan Vietnam, bagi tahun 2013 hingga 2015, ia diperluaskan lagi dengan menambah negara rakan terpilih seperti Mindanao, Filipina, Timor Leste dan Papua New Guinea.

Menteri Pengajian Tinggi itu memaklumkan yang satu cadangan pelan rangka kerja program pembangunan sumber daya manusia untuk Mindanao akan disediakan oleh Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) yang  boleh diintegrasikan sebagai salah satu agenda pembangunan keseluruhan Mindanao yang akan diselia oleh Jawatankuasa Khas Filipina-Malaysia yang telah dipersetujui penubuhannya oleh kedua-dua negara bagi menyelia proses damai dan pembangunan di Mindanao.

Majlis Amanat Tahun Baharu 2013 itu dihadiri oleh seluruh komuniti pengajian tinggi negara dan turut menyaksikan pemberian autonomi kepada dua buah universiti lagi, iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain dari Universiti-universiti Penyelidikan yang menerimanya pada tahun lalu. Menteri Pengajian Tinggi turut melancarkan “Malaysian Greater Research Network System (MyGRANTS) dan penyerahan Laporan D-Setara oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). – Teks/Foto: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 2163

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024