USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BIDANG SEMIKONDUKTOR DAN TEKNOLOGI PACU AGENDA STI

IMG 0115 edited

TANJUNG BUNGAH, PULAU PINANG, 29 April 2019 – Bidang Semikonduktor dan Teknologi pada masa kini memacu pelaksanaan teknologi hijau untuk kesejahteraan alam sekitar dan memacu agenda Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) selari dengan agenda Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Demikian ujar Timbalan Menteri MESTECC, Isnaraissah Munirah Majilis ketika merasmikan International Conference on Semiconductor Materials and Technology (ISoSeMT 2019) yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano Optoelektronik (INOR), Universiti Sains Malaysia (USM); Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang dan Collaborative Research in Engineering, Science & Technology (CREST).

IMG 0126 edited edited

Tambahnya lagi, MESTECC menyediakan Tabung Pembangunan Penyelidikan atau R&D Fund bagi membantu para penyelidik untuk menjalinkan kolaborasi bersama penyelidik di dalam dan luar negara.

“Persidangan ini adalah satu platform dan hab untuk membincangkan penemuan penyelidikan baru, inovasi elektronik, dan semikonduktor berdasarkan tema ‘Innovation Towards A Sustainable Tomorrow’ yang dekat dengan hati semua bagi menggalakkan  pertumbuhan ekonomi negara melalui akademik dan penyelidikan dalam bidang bahan semikonduktor dan teknologi dan lain-lain topik berkaitan,” kata Timbalan Menteri.

IMG 0136 edited

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail pula, tema tersebut adalah sangat relevan dan selari dengan Agenda APEX USM dan juga bertepatan dengan Sustainable Development Goals (SDGs).

“USM secara berterusan berusaha untuk memperkasakan bidang penyelidikan dan inovasi dengan menggunakan pendekatan yang berbeza iaitu penyelidikan yang dijalankan perlulah memberikan impak kepada masyarakat termasuk golongan B40,” tambah Naib Canselor.

“Usaha tersebut telah membuahkan hasil apabila USM berada di kedudukan #49 secara keseluruhan di dunia dan #1 di Malaysia dalam Times Higher Education (THE) University Global Impact Rankings.

“Saya berharap melalui penganjuran persidangan yang julung kali diadakan ini akan membawa kepada penemuan penyelidikan baru, inovasi dan idea-idea yang akan memastikan pencapaian yang mampan dalam bidang bahan semikonduktor dan teknologi yang juga termasuk di dalam sektor perdagangan,” tambahnya lagi.

“Di samping itu, USM juga melalui INOR telah terlibat secara langsung dalam GaN on GaN Program iaitu program lima tahun (2015-2020) bagi pemindahan teknologi dari Amerika Syarikat ke Malaysia melalui kerjasama penyelidikan dengan Pemenang Nobel Laureate dalam bidang Fizik tahun 2014 iaitu Profesor Dr. Shuji Nakamura dari Solid State Lighting and Energy Electronics Center (SSLEEC), University of California, Santa Barbara (UCSB),” tambah Naib Canselor.

IMG 0144 edited edited

ICoSeMT 2019 dianjurkan bersempena ulangtahun ke-50 USM dengan tujuan mengumpulkan ahli akademik, penyelidik, saintis, pengamal industri dan pelajar untuk berkongsi idea, pengetahuan dan penemuan terkini dalam bidang bahan dan teknologi semikonduktor.Persidangan ini telah berjaya menarik penyertaan para penyelidik antarabangsa yang berasal dari 12 buah negara, termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Perancis, Australia, Singapura, Korea, Pakistan, dan Iraq.

Di samping itu, persidangan ini telah mendapat sokongan yang begitu baik daripada universiti tempatan awam dan swasta, institusi penyelidikan seperti NanoMalaysia Berhad, SIRIM Berhad, dan MIMOS, serta pihak industri seperti OSRAM Opto Semiconductors (Malaysia) Sdn. Bhd.

ICoSeMT 2019 telah dianjurkan tepat pada masanya apabila kerajaan sedang giat mengorak langkah untuk mempercepatkan lagi kemajuan sektor elektrik dan elektronik di Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada pemimpin dalam Industri 4.0. Ini akan membolehkan Malaysia menjadi peneraju dalam bidang artificial intelligence, big data dan internet of things.

IMG 0177 edited

Turut hadir ialah para Penasihat ICoSeMT 2019 iaitu Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Hisbany Mohd Hashim dan Timbalan Presiden CREST, Dr. Nor Azmi Alias serta Pengerusi ICoSeMT 2019 Profesor Dr. Zainuriah Hassan dan timbalannya, Dr. Rosfariza Radzali.

Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1565

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024