USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOLEKSI CROSS STITCH JADI TUMPUAN DALAM PAMERAN SENI 32: REVAMPED

DSC 6272 edited

USM, PULAU PINANG, 26 April 2019 – Pameran seni jahitan cross stitch yang diberi nama Hello Memory menjadi antara koleksi seni halus pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Seni (PPS) Universiti Sains Malaysia (USM) yang mencuri perhatian pengunjung di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, USM. 

Kesenian dengan konsep mengimbau kenangan masa kecil itu bukan sekadar tampil dengan pelbagai patung beruang comel, malah turut dilengkapi set ruang rehat seperti sofa, televisyen, tikar dan sebagainya yang mana semuanya dijahit menggunakan teknik crochet.

Pemilik karya berkenaan, Chin Mun Yee berkata, beliau sangat mencintai seni cross stitch dan sudah mula belajar jahitan ini melalui ibu saudaranya sejak di tingkatan tiga.

DSC 6282 edited

“Saya sangat suka dengan jarum, benang dan fesyen. Saya boleh menghabiskan masa berjam-jam dengan menjahit kerana ia memberi kepuasan yang sukar saya gambarkan,” ujarnya sambil mengakui ramai yang turut teruja dengan hasil tangannya.

Tambah gadis kelahiran Tanjung Tualang, Perak ini, beliau turut memperoleh pendapatan sampingan dengan menjual hasil jahitannya dalam pelbagai bentuk termasuk patung, pelapik tidur, alas kaki dan sebagainya. Ia dijual dengan pelbagai harga bermula dari RM35 hingga RM250, bergantung kepada saiz dan warna-warna yang digunakan. 

DSC 6278 edited

“Namun untuk Hello Memory ini, saya telah berbelanja lebih dari RM2,000 bagi menyiapkan kesemua koleksi, termasuk hampir 50 patung kecil. Ia menggunakan banyak benang dan proses menyiapkannya memakan masa lebih sebulan,” tambahnya.

Selain beliau, turut mempamerkan koleksi menakjubkan ialah Noor Athirah Md Ghazali yang tampil dengan seni campuran media atas kanvas, Bijin-Ga Series, Alluring Tamiko in Malay yang menonjolkan seorang geisha Jepun berkimono dengan kolaj campuran fabrik tradisional Melayu.

Katanya, karya itu mengetengahkan isu materiality in painting yang mana rekaannya memberi tumpuan kepada usaha menambah sentuhan kepada seni lukisan konvensional dengan memasukkan elemen kolaj fabrik supaya menjadikan lukisan berkenaan bertambah ‘hidup’.

DSC 6276 edited

Kedua-dua koleksi berkenaan antara yang menarik dipamerkan sempena Pameran Seni 32: Revamped yang menjadi platform utama dalam mengetengahkan hasil karya pelajar jurusan Seni Halus PPS, USM.

Pameran Seni 32: Revamped yang dirasmikan oleh Pengerusi Balai Seni Lukis Pulau Pinang, Lee Khai juga dibuat bersempena projek showcase pelajar-pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Seni USM yang dikenali dengan nama RINTIS.

RINTIS yang juga bermaksud ‘laluan’ mula diperkenalkan semenjak 2004 dan ia merupakan satu platform untuk membawa komuniti pelajar tahun akhir menuju dan menembusi pasaran industri.

Antara objektif  RINTIS 2019 ialah untuk mempamerkan hasil kerja para pelajar Pusat Pengajian Seni dari pelbagai bidang seni yang melibatkan penyelidikan dan idea kreatif kepada masyarakat luar serta mempromosikan seni, berkongsi idea dan hasil kajian kepada umum.

DSC 6279 edited

Enam bidang seni yang dimaksudkan ialah Rekabentuk Grafik Komunikasi, Rekabentuk Teknologi Media Baru, Rekabentuk Produk, Seni Halus, Persembahan & Pedagogi serta Lakonan & Pengarahan.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1681

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024