KEMPEN GORANGE 2.0: SCHOOL ATTACK! PPK USM BUDAYAKAN KEMPEN KITAR SEMULA, SASAR PELAJAR SEKOLAH MENENGAH DI PULAU PINANG
PULAU PINANG, 25 April 2019 – GORANGE 2.0: School Attack!, program unik dan interaktif bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya pelajar-pelajar sekolah menengah di sekitar negeri Pulau Pinang mengenai kepentingan kitar semula, kini kembali dengan sambutan memberangsangkan.
Program anjuran Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM) itu pertama kali dianjurkan pada tahun lalu namun ia hanya melibatkan aktiviti dan pendidikan mengenai program kitar semula dalam kalangan warga kampus.
GORANGE adalah nama bagi kempen yang diilhamkan dari singkatan bagi Generasi Oren yang dilambangkan oleh pengasas kempen iaitu Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh sebagai generasi yang peka dan aktif untuk bertindak menjaga kesejahteraan alam sekitar demi mencapai agenda pembangunan lestari.
Dekan PPK USM, Dr. Nurzali Ismail berkata, kempen GORANGE 2.0: School Attack! tahun ini mensasarkan pelajar sekolah kerana mereka merupakan generasi muda yang perlu didedahkan dengan pengetahuan tentang sisa sifar dan kitar semula dari peringkat awal lagi.
Tambah beliau, penganjuran kempen GORANGE 2.0: School Attack! ini sebenarnya selari dengan agenda USM yang menekankan tentang aspek kelestarian sehingga USM berjaya mencapai kedudukan pertama di Malaysia dan ke-49 di dunia dalam Times Higher Education (THE) University Global Impact Rankings 2019 baru-baru ini.
“Ilmu yang dipelajari dalam dewan kuliah adalah tidak mencukupi. Justeru, pelajar universiti digalakkan untuk turut serta dalam penganjuran aktiviti-aktiviti kelestarian di luar dewan kuliah.
“Hal ini penting dalam melahirkan mahasiswa yang dapat menghayati nilai H.E.B.A.T, iaitu yang H-holistic, E-entrepreneurial, B-balanced, A-articulate dan T-thinking seperti yang ditekankan oleh USM,” ujar beliau lagi.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Saraswathi Devi Odian pula berpendapat bahawa kempen GORANGE 2.0: School Attack! yang dianjurkan oleh PPK USM adalah satu usaha yang baik yang patut dilaksanakan oleh universiti-universiti lain supaya lebih ramai pelajar yang mendapat kesedaran tentang kitar semula.
Tambah Saraswathi lagi, kolaborasi antara pihak universiti dan badan bukan kerajaan (NGO) adalah amat penting kerana ianya dapat membantu dalam meningkatkan kesedaran dengan cara yang lebih efektif.
“Diharapkan penganjuran kempen GORANGE 2.0 dapat diteruskan pada masa akan datang agar dapat terus menyuntik semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan pelajar dan masyarakat,” ujar beliau.
Dalam pada itu, seperti tahun lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut tampil dalam memberikan tajaan bagi PPK USM untuk melaksanakan kempen GORANGE 2.0: School Attack! yang dijalankan di dua buah sekolah terpilih iaitu SMK Bukit Jambul dan SMK Sungai Nibong Pulau Pinang.
Pasukan GORANGE 2.0: School Attack! yang terdiri daripada kalangan ahli Persatuan Komunikasi (PERKOM) dan pelajar yang berdaftar sebagai Go-Renjer telah menjalankan pelbagai aktiviti di kedua-dua buah sekolah berkenaan baru-baru ini.
Antaranya termasuk permainan berkaitan kitar semula dan ceramah berbentuk pendidikan tentang kitar semula yang dikendalikan oleh CAP.
- Created on .
- Hits: 2305