KEMPEN GORANGE 2.0: ‘SEHARI SATU BISKUT’ PPK USM KOMITED BANTU MAHASISWA
PULAU PINANG, 15 April 2019 - Bagi mendepani masalah beban kewangan pelajar yang menyebabkan ada segelintir dari mereka yang terpaksa 'mengikat perut', Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan satu kempen yang dinamakan sebagai GORANGE 2.0: Sehari Satu Biskut yang bermula pada 1 April bagi menyediakan makanan dan minuman ringan percuma untuk mahasiswa yang memerlukan dari pusat pengajian berkenaan.
Menerusi kempen ini, banyak pihak yang tampil dalam memberikan sokongan khususnya tajaan makanan, minuman mahupun dalam bentuk tunai untuk membantu mahasiswa.
Antaranya adalah pensyarah dari PPK sendiri yang berganding bahu menghulurkan kewangan dan makanan bagi memastikan mahasiswa tidak berlapar sebelum dan selepas menghadiri kuliah, selain disertai penaja korporat seperti Farasyikins, The Original Nasi Kerabu dan Blizzard Infinity Enterprise yang turut memberi tajaan kepada kempen ini.
Kolaborasi mantap dalam kalangan pelbagai pihak bagi menjayakan kempen ini membuktikan bahawa masyarakat Malaysia sememangnya amat prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan mahasiwa yang bakal membarisi generasi pemimpin pada masa akan datang.
Dekan PPK USM, Dr. Nurzali Ismail menyifatkan inisiatif makanan dan minuman percuma menerusi Kempen GORANGE 2.0 sebagai sesuatu usaha yang terpuji kerana ianya dapat membantu pelajar terutamanya golongan yang tidak berkemampuan.
Menurut Nurzali, terdapat pelajar yang tidak sempat untuk mengambil sarapan sebelum ke kelas, atau atas sebab jadual waktu pembelajaran yang padat. Mereka ini juga boleh mendapat manfaat dari penganjuran kempen ini selain dari golongan yang tidak berkemampuan.
Tambah Nurzali lagi, inisiatif kempen yang dibimbing oleh Penasihat, Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh ini adalah selari dengan usaha berterusan USM yang prihatin dengan isu-isu yang berkaitan dengan kebajikan pelajar, terutamanya dari golongan B40.
Nurzali berharap agar kempen ini dapat terus dilaksanakan di masa hadapan supaya faedahnya dapat terus dinikmati oleh pelajar. Selain penaja korporat, beliau juga ingin menyeru alumni PPK USM untuk turut sama menyumbang kepada kejayaan kempen ini di masa akan datang.
Pengarah projek ini iaitu Siti Nur Aishah Ahmad pula berkata, kempen GORANGE 2.0: Sehari Satu Biskut ini adalah satu inisiatif bersifat serampang dua mata iaitu bukan sahaja berusaha untuk membendung masalah kelaparan yang dihadapi oleh mahasiswa PPK yang boleh menjejaskan tumpuan mereka dalam pelajaran tetapi pada masa yang sama turut menjadi platform bagi pelajar untuk lebih menghargai makanan dan minuman yang diberikan secara percuma.
Sebagai pengarah projek, Siti Nur Aishah dan ahli jawatankuasa lainnya yang terdiri dalam kalangan ahli Persatuan Komunikasi (PERKOM) ada merancang untuk mempelbagaikan lagi jenis makanan yang disediakan dan berhasrat menjalinkan lebih banyak kolaborasi dengan pelbagai pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO), kerajaan, korporat dan sebagainya.
Buat masa ini, Mutiara Food Bank adalah NGO yang tampil untuk bekerjasama bagi menjayakan kempen ini bersama-sama PPK USM.
Sebarang maklumat lanjut dan penajaan bolehlah berhubung dengan Dr. Mohamad Saifudin di talian 04-6534199 atau emel beliau:
- Created on .
- Hits: 813