USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LARIAN OBOR 50 TAHUN USM MULA DENGAN MERIAH SEKALI

KUBANG KERIAN, 23 April 2019 – Seramai 70 orang pelari yang terdiri daripada pelajar, alumni dan pensyarah serta 20 orang peserta berbasikal daripada Kelab Basikal Lasak USM Kampus Kesihatan tampil menyertai Larian Obor sempena Sambutan Ulang Tahun USM yang ke-50.

Pelepasan Larian Obor USM 50 dimulakan di Perkarangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dan dilepaskan oleh Timbalan Menteri Besar Negeri Kelantan, YB Dato Hj Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim berkata, Larian Obor ini bermula daripada Kampus Kesihatan seterusnya ke Kampus Kejuruteraan serta Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), dan akhir sekali akan ditamatkan di Kampus Induk USM Pulau Pinang pada 26 April ini.

"Larian obor ini juga adalah simbolik tentang semangat warga USM dalam meraikan ulang tahun ke-50 USM, yang mana seluruh warga mendoakan agar USM sentiasa memacu kecemerlangan dan memastikan setiap agenda yang dirancang membuahkan hasil,", ujar Sukari lagi.

Larian Obor ini telah melalui jalan-jalan utama sekitar bandar Kota Bharu dan balik semula ke Kampus Kesihatan USM melibatkan jarak laluan hampir 10 kilometer.

Dalam larian ini juga turut menyaksikan Ahmad Sukari menyerahkan obor kepada Idrus Haji Rafie yang mewakili Pengarah Kampus Kejuruteraan USM untuk membawa Obor 50 tahun USM merentasi banjaran Titiwangsa melalui kayuhan berbasikal oleh warga Kampus Kejuruteraan sejauh lebih 350 kilometer.

Acara berkenaan mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan kelancaran trafik dan mendapat sokongan masyarakat setempat yang sama-sama memberikan sokongan sepanjang laluan yang dilalui.

Larian Obor USM 50 tahun ini dianjurkan oleh Pusat Sukan dan Rekreasi USM (PSR), dijadual berakhir di Kampus Induk, pada 26 April 2019 dan diserahkan kepada Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.

Turut hadir dalam memeriahkan Larian Obor 50 tahun USM ini ialah Timbalan Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Adam Hussein selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Ulang tahun ke-50 USM Peringkat Kampus Kesihatan; Pengarah PSR USM, Profesor Madya Dr. Ahmad Munir Che Muhamad, dan Timbalan Pengarah PSR Kampus Kesihatan, Dr. Mohd Nidzam Jawis.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan/Foto: Wan Mohd Rashidi Wan mood

  • Created on .
  • Hits: 1115

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024