USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KESELAMATAN MAKANAN HARIAN DIKAJI LEBIH MENDALAM

usmti

PULAU PINANG, 29 Jan 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) terpilih sebagai institusi penganjur bagi Kursus Latihan Serantau Pertama IAEA/RCA, satu platform penting yang membolehkan negara-negara peserta berkolaborasi dalam penyelidikan yang memperkasakan kesihatan makanan.

Kursus kendalian pakar dan juga saintis dalam bidang kimia pemakanan iaitu Prof Madya Dr Russel Frew dan Dr.Kiri McComb dari Universiti of Otago, New Zealand itu disertai oleh 28 peserta dari 13 negara Asia Pasifik termasuk Bangladesh, Cambodia, China, Thailand dan sebagainya.

Russel Frew berkata, latihan ini memberi peluang kepada negara-negara peserta menjalankan penyelidikan secara terus bersama saintis dan berkongsi pengalaman dari aspek praktikal.

Katanya, ia termasuk proses pengumpulan data yang berkualiti, mengenal pasti strategi persampelan dan pemetaan serta mentafsir data melalui aplikasi isotop stabil (Stable Isotope) dan unsur logam surih (Trace Element) untuk kebolehkesanan makanan.  

“Latihan ini bertujuan untuk menyebarkan penggunaan teknik analisis nuklear berbanding sistem kebolehkesanan “kertas” yang telah lama digunapakai kepada ahli The International Atomic Energy Agency (IAEA) dan menambahbaik kajian keselamatan makanan.  

``Seperti yang kita sedia maklum, makanan bukan sahaja penting untuk kehidupan seharian malah memberikan nutrien kepada manusia,” jelas Russel.

Ini adalah kali pertama latihan seperti ini dianjurkan dan dibiayai sepenuhnya oleh IAEA. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Prof Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar yang mewakili Naib Canselor, Prof. Dato’ Omar Osman.

Adnan dalam ucapannya pula berkata, kursus berkenaan sangat signifikan untuk pembangunan bidang ilmu selain membuktikan penghargaan dan pengiktirafan daripada agensi antarabangsa kepada USM untuk bersama-sama menganjurkan program berprestij tersebut.

``Program ini dapat memperkasakan kesihatan makanan secara umumnya serta dapat mengelakkan berlakunya keracunan makanan seperti yang berlaku di Amerika Syarikat yang berpunca daripada tomato dan cili tercemar dari Mexico pada tahun 2008,” kata Adnan.

Dalam pada itu, para peserta akan berkesempatan melawat dan mengambil sampel di sawah padi di Alor Star pada hari Sabtu ini. Turut hadir Dekan Pusat Pengajian Teknologi Industri, Prof Rozman Hj Din serta Pengarah, Pusat Kawalan Doping, Prof Bahruddin Saad. Teks: Nor Rafizah Md Zain /Foto: Mohamad Danial Shahri.

 

 

 

  • Created on .
  • Hits: 2267

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024