USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WARGA USM DISARAN TINGKATKAN AMALAN GAYA HIDUP SIHAT

CDH 4256 edited

USM, PULAU PINANG, 18 April 2019 – Warga Universiti Sains Malaysia (USM) tidak mengira staf mahupun pelajar disaran supaya meningkatkan lagi amalan gaya hidup sihat agar sentiasa berada pada prestasi terbaik bagi menjalankan tugas dan aktiviti harian.

Apatah lagi perkara ini merupakan agenda utama universiti yang mahukan seluruh warga kampus sedar tentang bahayanya penyakit tidak berjangkit (non Communicable Disease) seperti Diabetes, Hypertensi dan Hiperkolesterolemia yang semakin meningkat jumlah dihidapi rakyat Malaysia kini.

CDH 4226 edited

Timbalan Pengarah Kampus Kesihatan, USM, Profesor Dr. Adam Husein berkata langkah kesedaran ini wajar diambil perhatian oleh seluruh warga kampus agar sentiasa menitikberatkan soal kesihatan selain mementingkan kepentingan perkhidmatan.

“Atas sebab itulah USM melalui Pusat Sejahtera berusaha meningkatkan kempen kesedaran ‘War on Sugar and Creamer’ yang telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2019 oleh Jawatankuasa Pengurusan Universiti adalah bagi menyedarkan warga USM dan masyarakat bahawa penyakit diabetes dan obesiti perlu dikesan awal dan boleh dirawat serta dikawal dengan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang,” katanya ketika mewakili Naib Canselor merasmikan Karnival Kesihatan 2019 Sempena Sambutan 50 Tahun USM bertemakan MANIS @ 50 (SWEET @ 50), anjuran Pusat Sejahtera USM baru-baru ini.

CDH 4265 edited

Katanya lagi, amat membimbangkan apabila statistik dikeluarkan oleh National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2015, dianggarkan  3.5 juta atau 17.5 peratus rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas menghidap diabetes, sekaligus menunjukkan statistik penyakit ini terus meningkat. 

“Angka ini adalah fakta yang mana 415 juta penduduk dunia kategori dewasa mempunyai diabetes dan dijangka mencecah 642 juta menjelang 2040. 

Di samping itu, didapati trend yang meningkat juga untuk obesiti iaitu 17.7% (3.3 juta) dalam kalangan orang dewasa 18 tahun ke atas di negara kita,” jelasnya lagi.

Kata Adam, oleh sebab itulah perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh Pusat Sejahtera kampus induk dan Unit Kesihatan Kampus Kejuruteraan semenjak 50 tahun yang lalu telah berjaya menyediakan perkhidmatan yang menekankan kepentingan pencegahan, pengesanan, perawatan dan pemulihan bagi semua warga kampus. 

“Perkhidmatan Pusat Sejahtera telah melalui evolusi yang mana perkhidmatannya telah diperluaskan liputan bukan sahaja kepada pelajar, tetapi kepada tanggungan pelajar, staf dan tanggungan, pesara dan pasangan di samping menambah dan memperkukuhkan perkhidmatan yang sedia ada.”

CDH 4283 edited

Yang turut hadir adalah Pengarah Pusat Sejahtera, Dr. Normala Abdul Wahid dan Penceramah Jemputan Khas iaitu Pakar Endokrinologi dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Dr. Nur Shaffinaz Yusoff Azmi Merican yang menyampaikan ceramah bertajuk “Sembang Santai Manisnya Diri”.

Pelbagai aktiviti kesihatan yang menarik turut diadakan sempena Karnival ini, antaranya pemeriksaan mammogram dan pap smear, kempen derma darah, kaunseling ubat-ubatan, saringan kesihatan dan pemeriksaan paras gula darah.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1742

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024